JenayahNasionalNegeri

Pelajar kolej warga Nigeria maut jatuh kondominium

SEORANG pelajar kolej warga Nigeria maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban, Gelugor semalam selepas cuba melarikan diri ketika polis menyerbu kediaman terbabit.

Kejadian berlaku ketika kediaman lelaki berusia 37 tahun itu diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Pulau Pinang kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata, ketika serbuan, pintu rumah berkenaan dibuka seorang lelaki, namun dia masuk semula ke dalam rumah selepas menyedari kehadiran polis lalu bertindak mengunci pintu.

Katanya, mereka terpaksa memecahkan pintu sebelum menahan warga Nigeria itu.

“Berikutan wajah individu yang membuka pintu dengan lelaki yang ditahan itu tidak sama, pasukan polis membuat pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan sebelum menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tingkat bawah.

“Kita juga menemukan seorang lagi suspek lelaki warganegara sama di tingkat lapan kondominium berkenaan,” katanya semalam, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah dadah jenis syabu dan pil ekstasi.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut manakala dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fauzian Izzuan Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.21 malam bagi tugas khas menurunkan mayat di koridor tingkat dua kondominium itu.

Katanya, seramai enam anggota membawa turun mayat terbabit menggunakan pengusung.

“Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya. – SM

BACA Warga Nigeria bunuh ketua jururawat terlepas tali gantung

(Visited 31 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button