MahkamahNasional

Zahid mengaku tak salah pertuduhan pindaan rasuah VLN

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas satu tuduhan pindaan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mohd Yazid Mustafa mengarahkan pertuduhan pindaan itu dibacakan semula kepada Zahid, 69, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin untuk meminda pertuduhan kedua.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan pertukaran tarikh daripada April 2017 kepada 27 Mac 2018.

Sejurus pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa, Zahid kemudian menjawab mengaku tidak bersalah.

“Faham, mengaku tidak bersalah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Zahid didakwa sebagai menteri dalam negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mendapat untuk dirinya sesuatu benda berharga iaitu wang tunai RM3 juta tanpa balasan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan beliau mengetahui bahawa UKSB tersebut mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di No. 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang pada 27 Mac 2018.

Dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SGD$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan USD$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan semua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid. – FMT – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button