MahkamahNasional

Wanita terlantar akibat dipukul suami berjaya dalam tuntutan fasakh

Tuntutan dibuat oleh adik yang mewakili kakak

SEORANG wanita dipercayai dipukul suami sehingga terbaring kaku, Jahidah Nordin berjaya dalam tuntutan fasakh terhadap suaminya itu selepas Mahkamah Rendah Syariah Seremban berpuas hati dengan keterangan secara bertulis oleh pihak ‘ad litem’ penjaganya.

Ad litem merujuk kepada pihak dilantik mahkamah untuk memberikan perlindungan termasuk dalam kes tertentu melibatkan orang dewasa yang tiada upaya.

Tuntutan fasakh oleh Jahidah, 44, terhadap suaminya, Rosmaini Abd Raof, 40, difailkan dengan berwakilkan adik si penuntut, Fauziah Nordin, 41.

Menurut Berita Harian, Fauziah membuat tuntutan fasakh mewakili kakaknya pada 1 Februari lalu dan bersyukur proses itu dipermudahkan tanpa menunggu lama.

“Saya sangat bersyukur sebab sudah lama tunggu supaya ada keputusan mengenai perkahwinan kakak ini.

“Saya memang tidak sangka akan dapat keputusan hari ini, rasa kurang sikit beban saya.

“Saya akan bincang dengan peguam untuk langkah seterusnya kerana ia perlu dilakukan satu persatu memandangkan saya perlu menjaga kakak dan juga anaknya,” katanya menurut laporan itu.

Rosmaini bagaimanapun tidak hadir dalam prosiding berkenaan walaupun berulang kali diberi notis kehadiran.

Media pada Mei 2021 melaporkan, seorang wanita hamil cedera parah akibat dipercayai dipukul suaminya pada 4 Mei.

Wanita itu yang bertugas sebagai kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan dilaporkan berada di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan tengkorak, selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya. – SM

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button