Belang Bertempat

Bilakah PRU15 – Ibrahim Ali

AWAL bismilah parti PUTRA menyatakan pendapat bahawa tidak ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh masa terdekat.

Presiden parti tersebut, Datuk Dr. Ibrahim Ali juga berpendapat, kemungkinan Parlimen tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempoh pada Mei 2023.

Beliau berkata, pandangan itu dizahirkannya tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Menurut Ibrahim lagi, tempoh Parlimen sekarang akan tamat adalah pada Mei 2023 dan 60 hari selepas itu wajib diadakan PRU15.

Maknanya, kata Ibrahim, paling lewat PRU15 wajib diadakan ialah pada bulan Julai tahun depan, 2023.

“Macam-macam perbahasan mengenai bilakah PRU15 akan diadakan?  UMNO yang mengepalai Kerajaan sekarang  ini terdapat dua kumpulan yang bertentangan kehendak atau pendapat apabila topik bilakah PRU15 patut diadakan,” kata Ibrhim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk, satu kumpulan mahukan PRU15 diadakan secepat mungkin, kalau boleh esok dan kumpulan ini pula pecah kepada dua kelompok yang mahu PRU15 diadakan segera.

“Kumpulan Kluster Mahkamah. Ada dua sebab mengapa mereka mahu diadakan PRU15 sekarang.

“Pertama ianya menjamin mereka boleh menjadi calon dan bertanding pada PRU15 sebelum kelayakan bertanding ditarik apabila di sabit kesalahan. Ini termasuk Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” kata Ibrahim.

Pada hemat Ibrahim, setakat ini yang tidak lagi layak bertanding ialah Datuk Seri Najib Razak manakala yang kedua adalah jika PRU15 diadakan sekarang, kuasa surat watikah berada dalam tangan Presiden.

“Presiden UMNO sekarang juga berkuasa memilih calon-calon. Jika PRU15 diadakan selepas Pemilihan Agung UMNO (PAU), kedudukan Presiden UMNO sekarang belum tentu selamat. Pasti ada yang mencabar jawatan atau bertanding kerusi Presiden Parti UMNO.

“Maka puak ini berangan-angan bahawa Barisan Nasional (BN)/UMNO akan kembali menang besar jika PRU15 diadakan cepat.

“Jika menang maka kumpulan Kluster Mahkamah akan terselamat. Alasan untuk selamat adalah dengan memberi sebab dakwaan terhadap mereka adalah konspirasi politik sedangkan mereka ini konon bersih suci saperti kain putih,” jelas Ibrahim.

Kata beliau lagi, sebab mereka mungkin semua adalah dari golongan orang yang beriman. Inilah sebabnya mereka bermati-matian mahu PRU15 disegerakan.

Ibrahim dalam kenyataannya yang sama juga berpendapat, mereka yang mahu PRU15 cepat diadakan mempunyai duit yang banyak.

Beliau mendakwa, beli undi masih menjadi amalan. Ada duit dan ada kuasa senang menang.

“Inilah akidah politik orang berkuasa dan kaya,” kata Ibrahim lagi.

Manakala satu lagi kumpulan yang menyalak-nyalak mahukan PRU15 disegerakan, kata Ibrahim, adalah kumpulan yang tidak berstatus Wakil Rakyat dan tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Kerajaan atau GLC. “Mereka juga gian tengok yang lain-lain berjawatan dan bergaji besar. Mereka ini juga sebahagian besarnya adalah penyokong Presiden UMNO sekarang.

“Jika bertukar Presiden, belum tentu mereka dapat menjadi calon maka mereka kuat bersuara agar PRU15 disegerakan seolah-olah mereka tahu kononnya BN akan menang kembali dan mereka dapat jadi Yang Berhormat (YB) YB dan berbagai pangkat,” jelas Ibrahim mengikut huraian beliau sendiri.

Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakbo pula, kata Ibrahim, pasti bercita-cita untuk menjadi Presiden UMNO.

Jika PRU15 diadakan lebih awal, Ismail Sabri tidak ada kuasa memilih calon-calon UMNO PRU15, katanya.

Tambah beliau, nasib Ismail Sabri juga dalam tangan Kluster Mahkamah Zahid Hamidi dan di belakang Najib Razak.

“Maka dari segi perhitungan politik, pemilihan PAU dulu adalah strategi terbaik kerana kumpulan yang menentang kepimpinan Kluster Mahkamah akan melakukan apa saja untuk memilih Presiden baru.

“Kemudian baru PRU15. Anggota Kabinet dari UMNO pun mahu pemilihan PAU diadakan terlebih dahulu sebelum PRU15.

“Nasib mereka juga seperti ikan goreng kepanasan dalam kuali. Belum tentu mereka selamat menjadi calon kerana ada yang celupar menyerang Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Najib. Ada yang langsung tidak tunjuk rasa hormat kepada Presiden UMNO,” katanya.

Beliau berkata, “Ismail Sabri pun mahu menjadi Perdana Menteri selama yang boleh. Sudah mula rasa syok sebagai PM tetapi menjadi perhitungan Ismail Sabri juga jika diadakan PRU15 segera, adakah BN boleh menang?

“Kumpulan yang mahu PRU15 disegerakan berpegang pada alasan kemenangan besar BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan pembangkang agak bercelaru sekarang. Sebab itu PRN Johor diadakan.

“Namun apabila ada PRU15, ia tidak sama dengan PRK atau PRN. Kekuatan tenaga UMNO tidak boleh dikumpulkan seperti PRK dan PRN.

“Malah jika BN menang di PRN Johor, tidak bermakna masa PRU15 nanti, BN akan menang juga. Masing-masing menjaga dan bertanding di kawasan masing-masing.”

Ibrahim berkata, isu rakyat dan negara berada di tahap yang paling teruk.

Katanya, Malaysia sudah dinobatkan sebagai negara Rasuah Tersohor di dunia, isu harga barang-barang keperluan naik, isu cara mengurus Covid-19 dan vaksin, ekonomi negara merundum dan hutang negara sudah lebih RM1 trillion.

“Rakyat semua tahu Malaysia sudah menjadi negara sakit yang sukar diubati. Dengan terlaksana juga pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik, golongan anak-anak muda dilihat anti establisment dan majoriti tidak menyokong parti pemerintah.

“Tapi BN yakin mereka ada cara untuk menarik anak-anak muda. Tunggu dan lihat. Apakah cash is king akan digunakan untuk meraih sokongan anak-anak muda,” kata Ibrahim.

Walau apa pun, dengan niat mahu kekal lama sebagai Perdana Menteri kata Ibrahim, ada hasrat untuk menjadi Presiden UMNO dan tidak yakin BN boleh menang besar jika diadakan PRU15 segera dengan berbagai kemelut politik dan ekonomi dalam negara maka diyakini PRU15 tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pastinya selepas PAU untuk memilih kepimpinan baru UMNO.

“Pasti semua yakin Ismail Sabri tidak berani mengambil risiko yang teramat besar kerana kekalahan BN adalah kekalahan Ismail Sabri.

“Kumpulan Perikatan Nasional (PN) juga menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH) juga tidak mahu PRU15 diadakan sehingga tamat tempoh sehingga Mei 2023.

“Tidak mungkin Ahli-ahli Parlimen UMNO termasuk pihak-pihak Kluster Mahkamah akan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri kerana jika mereka berbuat demikian bermakna mereka menjatuhkan Kerajaan mereka sendiri iaitu UMNO. Sanggupkah mereka berbuat demikian?” katanya. – SM

 

(Visited 433 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button