Rencah Hidup

Bila Suami Jadi ‘House Husband’ – Maskulin Atau Malu?

DALAM era moden yang menyaksikan semakin ramai wanita mengatasi pasangan lelaki dari segi pendapatan dan pencapaian profesional, ramai lelaki mengakui berdepan tekanan emosi dan cabaran terhadap harga diri mereka.

Perubahan landskap ekonomi dan sosial ini mencabar norma tradisional yang selama ini meletakkan lelaki sebagai pencari nafkah utama dan simbol dominasi dalam keluarga. Namun apabila situasi berubah – dengan wanita menjadi ketua ekonomi keluarga – ramai lelaki merasakan maruah dan identiti mereka tercabar.

“Sakit juga ego bila isteri yang keluar kerja dan saya jaga rumah. Orang mula tengok saya macam saya tak cukup lelaki,” luah seorang bapa yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa.

Situasi seperti ini bukanlah kes terpencil. Kajian antarabangsa mendapati lelaki yang bergantung kepada pendapatan pasangan wanita lebih cenderung mengalami tekanan, kemurungan dan rasa terpinggir. Malah, kadar perceraian dilaporkan meningkat apabila peranan pencari nafkah berubah dalam rumah tangga.

Lebih menyedihkan, biarpun wanita kini menjadi penyumbang ekonomi yang besar dalam rumah tangga, mereka masih terbeban dengan tugas tradisional seperti menjaga anak dan mengurus rumah. Ini menandakan bahawa persepsi terhadap peranan jantina masih belum berubah sepenuhnya.

Lelaki pula, yang tidak lagi berperanan sebagai penyara utama, sering dipersoalkan ‘kejantanan’ mereka – sesuatu yang menekan jiwa dalam jangka panjang.

Pakar menyarankan agar masyarakat mula merombak semula tafsiran terhadap kejayaan dan kelelakian. Harga diri lelaki tidak sepatutnya hanya diukur berdasarkan gaji atau kedudukan, tetapi juga melalui sumbangan mereka dalam membina keluarga yang harmoni – sebagai suami penyayang, bapa bertanggungjawab dan pasangan yang menyokong.

Tanpa perubahan minda ini, lebih ramai lelaki bakal terperangkap dalam konflik identiti dan krisis emosi hanya kerana tidak mampu memenuhi jangkaan sosial yang lapuk.

Kreadit:  BBC

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button