Nasional

KPKT batalkan 384 lesen peniaga tempatan kerana sewa kepada peniaga asing

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa komited menyokong usaha penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap isu penyalahgunaan premis atau lesen perniagaan di kawasan pentadbiran PBT terutamanya yang melibatkan warga asing.

Bagi tahun 2022 sehingga 15 Februari 2024, PBT telah melaksanakan sebanyak 1,836 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing. Sehingga kini, sebanyak 26,108 lesen peniaga telah dibatalkan atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen / premis yang dibuat oleh PBT.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 384 lesen peniaga tempatan telah dibatalkan atas sebab menyewakan
lesen kepada warga asing.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, “KPKT turut menjalinkan kerjasama yang konstruktif dan aktif dengan Kementerian lain dalam melaksanakan penguatkuasaan secara menyeluruh berkaitan isu ini.

“Kerjasama bersepadu dengan pendekatan ‘whole of government’ bersama-sama agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah perlu bagi menangani isu yang semakin berleluasa ini berdasarkan kekangan bidang kuasa PBT yang terhad kepada pemeriksaan lesen premis dan perniagaan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri turut memainkan peranan dengan memperketatkan syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT di negeri masing-masing bagi mengekang monopoli perniagaan oleh warga asing.

Katanya, PBT juga tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon/ memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

Di bawah UUK Penjaja, PBT tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil. Malah, PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja/ pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT. Ini kerana kadar harga sewaan yang ditetapkan oleh PBT adalah di bawah harga pasaran dan bertujuan untuk memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.

Di bawah UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian pula, pengeluaran lesen perniagaan hanya dikeluarkan untuk warganegara Malaysia sahaja dan membenarkan warga asing diambil bekerja sebagai pekerja/ pembantu dengan syarat memiliki pas kerja/ permit dagang yang sah. PBT tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran yang jelas terhadap syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan oleh mana-mana perniagaan dan pemegang lesen dengan mengambil tindakan tegas secara tindakan sitaan, kompaun, penutupan premis dan pembatalan lesen.
PBT juga amat komited melaksanakan operasi penguatkuasaan dengan melakukan tindakan seperti berikut

  1. Pemantauan secara berkala ke atas premis-premis perniagaan dan penjaja di kawasan PBT terutamanya yang menjadi tumpuan warga asing
  2. Membuat sitaan dan rampasan barangan penjaja warga asing yang didapati menjalankan perniagaan secara haram; dan
  3. Menjalankan operasi bersepadu bersama agensi seperti JIM dan PDRM memandangkan sebarang tindakan penahanan warga asing atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah di bawah bidang kuasa dan pengurusan
    jabatan tersebut. – SM
(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button