PRK

Jentera wanita Warisan gigih dekati pengundi

MENYEDARI betapa pengundi wanita mampu menjadi penentu kepada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Jan ini, jentera wanita Parti Warisan Sabah (Warisan) mengukuhkan tekad untuk berusaha mendekati 100 peratus pengundi golongan berkenaan.

Ketua Wanita Warisan, Datuk Siti Aminah Jabarhan berkata dalam tempoh kempen berbaki beberapa hari sahaja lagi menjelang PRK itu, pihaknya akan melipatgandakan usaha mengadakan pertemuan dengan mereka.

Beliau berkata pengundi wanita yang mewakili hampir 50 peratus daripada 29,664 jumlah pengundi di kawasan Parlimen Kimanis dilihat mampu mempengaruhi keputusan PRK nanti, dan menurutnya berdasarkan penilaian dalam tempoh berkempen setakat ini, pihaknya percaya 70 peratus daripada pengundi wanita akan memilih calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

“Jentera wanita parti sudah diarah ‘mengunci’ pengundi wanita, mengundi calon kita (Warisan) di kawasan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundi PRK itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 orang manakala DUN Membakut 13,391 orang.

Siti Aminah berkata kebanyakan pengundi wanita yang ditemui sepanjang tempoh berkempen setakat ini menyatakan hasrat mahukan golongan wanita luar bandar turut diberi perhatian dari segi pembangunan insan, kebajikan, serta jawatan dan lantikan politik.

“Ada pengundi wanita ini yang kecewa dengan kerajaan dahulu yang kurang beri tumpuan kepada mereka. Wanita di kampung-kampung ini yang ada bekerja sebagai penoreh getah, peniaga kecil-kecilan, juga mengharapkan bantuan daripada kerajaan, misalnya meningkatkan harga getah atau menyediakan platform untuk peniaga mengembangkan perusahaan mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang pengundi wanita, Zita Simon, 47, yang ditemui di Kampung Daingin mahu seorang wakil rakyat yang tidak meninggalkan ‘orangnya’ apabila diperlukan, tetapi kembali dengan ‘janji’ apabila tiba musim pilihan raya.

Beliau berkata rakyat mahukan perubahan, bukan semata-mata dalam soal pembangunan dengan membina bangunan tinggi, tetapi tumpuan turut merangkumi aspek pendidikan atau menyediakan platform untuk suri rumah luar bandar menambah pendapatan.

Seorang pengundi yang ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, Kampung Kalatuan, Catherine Anthony, 67, pula secara terangan mahukan Karim yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013, memenangi kerusi Parlimen Kimanis itu.

“Dia (Karim) seorang pemimpin yang prihatin, ketika saya berjumpanya lima tahun lepas di Bongawan, ketika itu dia bukan lagi wakil rakyat, orang biasa sahaja, tetapi aura kepemimpinnya tetap ada.

Dia menggalakkan kami memulakan projek sarang burung walit untuk meningkatkan pendapatan, kini perusahaan ini yang diusahakan di Papar sudah ada hasil,” katanya.

PRK Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon Barisan Nasional Datuk Mohamad Karim; dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan manakala esok adalah hari pengundian awal.– BERNAMA

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button