fbpx
Mahkamah

Bicara kes rasuah Rosmah ditangguh kerana pelanjutan PKPB

PERBICARAAN kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sepatutnya bersambung selama empat hari sepanjang minggu ini, ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dilanjutkan dari 27 Oktober sehingga 9 November.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib berkata, mahkamah menetapkan 16 November ini untuk menyambung perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan pada hari ini hingga Khamis.

“(Penangguhan) tarikh sambung bicara ke 16 Nov dimaklumkan oleh timbalan pendaftar pada 28 Okt lalu kepada TPR Poh Yih Tiin,” katanya menerusi Whatsapp kepada BERNAMA.

Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merupakan saksi pendakwaan kelima, dijadual dipanggil semula bagi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan apabila perbicaraan bersambung semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan di antara Rosmah dan suaminya, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bahan bukti di mahkamah.


Pendakwaan telah selesai memanggil 23 saksi memberi keterangan dan dijangka menutup kes mereka dalam masa terdekat.

Rosmah, 69, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button