Ekonomi

Grayscale Technologies dan Accubits bekerjasama bangunkan penyelesaian digital untuk Industri 4.0

Syarikat pemboleh perniagaan ICT terkenal Malaysia, Grayscale Technologies,  anak syarikat milik penuh TechnoDex Berhad, telah memeterai perjanjian usaha sama dengan penyedia penyelesaian global, Accubits Technologies Private Limited.

Sebagai sebahagian daripada misi Grayscale Technologies untuk menggabungkan teknologi pintar dan inovasi ke dalam penyelesaian industri tradisional dan proses perniagaan, kerjasama tersebut akan memperkukuhkan penawaran perkhidmatan ICT TechnoDex serta komitmennya untuk memperkasa dan membolehkan pelaksanaan inisiatif Industri 4.0 di rantau ini.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak diadakan di Pavilion Malaysia, Ekspo Dubai di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, semalam (12 Januari) antara Pengarah TechnoDex, Tan Sze Chong dan Ketua Pegawai Strategi Accubits Technologies, Shameer Thaha.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz. Turut hadir Pengerusi TechnoDex, Tan Sri Tengku Abdul Hamid Thani.

Pengarah TechnoDex Berhad, Tan Sze Chong yang mewakili Grayscale Technologies berkata: “TechnoDex telah menyaksikan momentum pertumbuhan pelanggan yang kukuh sejak beberapa bulan lalu walaupun ketika kebanyakan industri sedang menghadapi cabaran akibat penularan wabak COVID-19.

“Kami memahami bahawa setiap pelanggan adalah unik dengan matlamat perniagaan yang berbeza serta memerlukan penyelesaian mengikut keperluan tersendiri. Atas faktor tersebut, kerjasama dengan Accubits adalah penting dan tepat pada masanya. Kami mahu para pelanggan dilengkapi dengan produk dan perkhidmatan yang mampu membantu mereka mencapai amalan automasi yang tinggi dan seterusnya mendapat operasi perniagaan yang cekap.”

Ketua Pegawai Strategi Accubits Technologies, Shameer Thaha pula berkata: “Kami sangat teruja bekerjasama dengan TechnoDex. Dengan kepakaran mereka yang tinggi digabungkan dengan kepakaran kami dalam teknologi baru muncul, ia akan membolehkan penghasilan perisian tercanggih dan penyelesaian terbaik kepada pelanggan, terutamanya di pasaran rantau Asia. Saya melihat kerjasama ini juga akan menjadi batu loncatan untuk penghasilan lebih banyak inisiatif hebat pada masa hadapan.”

Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, produk dan teknologi komprehensif Accubits akan diserapkan ke dalam portfolio TechnoDex Berhad melalui Grayscale Technologies bagi mengukuhkan barisan produk sedia ada. Produk dan perkhidmatan tersebut kemudiannya akan ditawarkan kepada para pelanggan TechnoDex di Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia – yang menandakan kemunculannya di rantau ini.

Produk-produk tersebut termasuk Emotyx – Sebuah visi komputer dan platform kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan analisis video masa nyata dilakukan untuk pelbagai analisis perniagaan seperti risikan orang ramai, risikan kenderaan, pengesanan anomali dan banyak lagi; Accucerts – Penyelesaian untuk membantu perniagaan dan institusi akademik menjana sijil melalui teknologi ‘Blockchain’ yang kalis gangguan dan tidak berubah.

Selain itu ialah REIWAS – Sistem Pengurusan Perubahan berkuasa AI yang membolehkan syarikat mengautomasikan proses pemantauan peraturan. Menggunakan AI lanjutan, platform juga boleh mengenalpasti dan merekodkan perubahan yang dibuat agar mematuhi standard pematuhan laman web yang terdapat dalam pelbagai industri dan Suite Coinfactory – Ekosistem kripto yang menawarkan pelbagai produk, penyelesaian dan platform ‘label putih’.

“Rangkaian produk dan perkhidmatan Accubit akan mengoptimumkan kecekapan teras pelanggan kami untuk memastikan mereka mampu untuk terus berkembang dan berada di hadapan dalam trend baru persekitaran perniagaan moden yang sentiasa berubah.

“Dengan sokongan syarikat induk TechnoDex yang merupakan syarikat pemboleh ICT terkemuka di Malaysia, saya yakin kami akan mampu menghasilkan penyelesaian ICT yang tiada tandingan dan membuka peluang lebih luas untuk memperkasakan perniagaan dalam Industri 4.0,” tambah Tan Sze Chong.

TechnoDex secara aktif menggalakkan pelanggannya untuk menggunakan teknologi terkini yang menggabungkan AI, pembelajaran mesin dan analisis lanjutan supaya mereka mendapat produktiviti dan kecekapan operasi yang lebih tinggi dalam perniagaan. Melalui kerjasama Grayscale Technologies dan Accubits yang baru diumumkan ini, diyakini usaha untuk menerokai teknologi AI,  Blockchain, mudah alih dan aplikasi pembangunan web, pembangunan perisian tersuai, DevOps dan pengkomputeran awan akan mampu dipertingkatkan.

Menurut Perjanjian JV, TechnoDex akan memiliki 51 peratus daripada syarikat usaha sama.

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button