Uncategorized

Bicara kes ADUN Tronoh rogol pembantu rumah ditetap 3 hari

MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menetapkan tiga hari bermula 21 Disember depan untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapi ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh berkenaan berikutan dua lagi peguam yang mewakili Paul Yong iaitu Rajpal Singh dan Salim Bashir menghadapi kekangan untuk menghadiri perbicaraan yang dijadualkan hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Pada prosiding hari ini, Paul Yong diwakili peguam Farhan Sapian dan Surindar Singh manakala pendakwaan dikendalikan pengarah pendakwaan negeri Perak, Azhar Mokhtar.

Norashima turut menetapkan 20 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Ketika ditemui di luar mahkamah Farhan berkata, pihaknya sedang menunggu Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh perbicaraan yang baharu berhubung rayuan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi memandangkan perbicaraan yang sepatutnya diadakan pada Rabu lepas, tidak dapat dijalankan kerana PKPB.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong yang ketika itu merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya, di kediamannya di Meru Desa Park, antara pukul 8.15 malam dengan pukul 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Paul Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya. – SM

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button