Politik

Pas gesa siasat kebocoran warkah Agong kepada PM

PAS menggesa pihak polis agar menyiasat kebocoran warkah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Ahmad Fadhi Shaari berkata, warkah tersebut jika benar wujud merupakan surat rahsia dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Warkah berkenaan sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu Perdana Menteri.

“Tindakan menyebarkan warkah tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.

“Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika,” kata Ahli Parlimen Pas Mas itu.

Ahmad Fadhi berkata, Pas memandang serius perkara tersebut dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat berkenaan.

Dewan Pemuda PAS turut mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS negeri dan kawasan untuk turut sama membuat laporan polis.

Siasatan perlu dibuat untuk melihat sama ada wujud unsur khianat dan sabotaj terhadap penyebaran warkah tersebut.

“Dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.

“Pemuda PAS mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik.

“Pemuda PAS mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini,” katanya.

Sebelum ini tular warkah berkaitan penamatan Ordinan Darurat daripada Al-Sultan Abdullah kepada Muhyiddin di media sosial pada Jumaat.

Dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menghadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lepas.

Semasa sesi menghadap tersebut, Baginda menitahkan tidak berkenan untuk menandatangani permohonan pembatalan Ordinan Darurat kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.-SM

 

 

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button