Nasional

Bicara Adi Guru imbau kenangan

Tanjung Malim, 12 Mei 2022 : Sempena sambutan 100 tahun penubuhan Sultan Idris Training College (SITC)- Maktav Perguruan Sultan Idris (MPSI)- Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sehingga era Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusat Ulul Albab (PUA) dengan kerjasama mengadakan Bicara Adi Guru yang menampilkan Tokoh Alumni UPSI.

Program Bicara Adi Guru yang dilaksanakan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu menyaksikan penampilan panel yang terdiri daripada pensyarah di Fakulti Pembangunan Manusia, Prof Dr Mohd Aziz Shah Mohamaed Arip; Farhanah Sukainah Abd Wahab serta Dr Suhaiza Mat Said manakala personaliti RTM, Andy Reza Rohadian Khairul Anwar bertindak selaku moderator.

Dr Suhaiza (dua dari kanan) sedang berkongsi pengalamannya.

Panel membincangkan tentang liku-liku kehidupan dan pengalaman yang dihadapi oleh tokoh bagi memberi inspirasi kepada mahasiswa dan masyarakat di luar sana.
Pengarah Program, Farhanah Sukainah Abd Wahab berkata, program berkenaan adalah anjuran segmen kerohanian yang bertujuan menonjolkan produk yang telah berjaya dihasilkan oleh UPSI dan diekspresikan dalam bentuk filem pendek “Liku-liku ke Puncak” dan diskusi ilmiah.

Farhanah Sukainah berkata, program Bicara Adi Guru bertepatan dengan misi utama UPSI iaitu Universiti Pendidikan Nombor 1 di Malaysia.

Antara tetamu yang menghadiri program Bicara Adi Guru di Dewan SITC , Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

“Inilah kali pertama kami menghasilkan filem pendek berkisahkan kehidupan seorang tokoh Alumni UPSI iaitu Dr Suhaiza Mat Said dan dalam masa yang sama kami menampilkan beliau dalam diskusi ilmiah yang diadakan pada hari ini.”, katanya.


Katanya program bersempena 100 tahun UPSI itu juga memperlihatkan kepada masyarakat bahawa pelajar kelahiran UPSI adalah pelajar yang kreatif, inovatif dan fleksibel dalam setiap perkara.

Penggerak program Bicara Adi Guru.

Menurut beliau, filem pendek tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh pelajar yang berbeza bidang dari proses penggambaran sehingga proses penyuntingan.

“Walaupun ada kekangan masa, lokasi dan proses penggambaran dijalankan semasa pandemik, namun bersyukur kami berjaya menghasilkan cerita pendek ini dalam tempoh dua bulan sahaja,” katanya.

Program Bicara Adi Guru mendapat sambutan warga UPSI.

Profesor bidang kaunseling UPSI, Prof Dr Abdul Aziz dalam perkongsiannya berkata dalam kehidupan, fikiran yang dikurniakan Allah adalah satu anugerah yang boleh diolah untuk menjelmakan perasaan cinta dengan profesion perguruan dalam menghasilkan sesuatu perkara dengan terbaik, bahagia dan rasa seronok jika digemblengkan secara positif.

Dr Suhaiza yang berpengalaman 18 tahun sebagai pendidik adalah lepasan ijazah sarjana muda dan sarjana bidang fizik UPSI berpendapatwalaupun pada awalnya tidak meminati bidang guru, selepas mengikuti pengajian akhirnya mengakui bahawa kerjaya guru sangat mulia dan menyumbang penuh bermakna untuk anak didik yang akan mewarisi negara.

Hadir sama, Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) merangkap Ahli Lembaga Pengarah (Alumni) UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak, serta Ketua Kluster Kerohanian sempena 100 Tahun UPSI, Tarmizi Abd Rahman.

Prof Dr Abdul Halim menyampaikan ucapan

Sementara itu, Pengarah PUA, Prof Dr. Abdul Halim Ali berkata, penghasilan filem pendek itu adalah inisiatif kali pertama kali dilaksanakan dan sepenuhnya diuruskan oleh pelajar Kelab Sahabat Ulul Albab dari penulisan skrip, penggambaran dan penyuntingan.

“Harapan kita agar setiap pelajar dan warga UPSI secara keseluruhan mengambil inspirasi dari hasil kejayaan tokoh yang dilahirkan oleh UPSI dalam pembangunan diri dan organisasi”, katanya.

Filem pendek berkenaan turut ditayangkan secara siaran langsung menerusi facebook UPSI TV dan Pusat Ulul Albab.

Katanya, Bicara Adi Guru menjadi platform terbaik untuk tokoh alumni berkongsi pengalaman dengan mahasiswa, guru-guru serta orang awam.

“Ini adalah masa yang tepat untuk kita tonjolkan pelajar-pelajar kelahiran UPSI yang berjaya dan cemerlang dalam setiap perkara yang diceburi sekaligus dapat membanggakan nama negara kita di dalam mahupun diluar negara”, katanya.

Program Bicara Adi Guru disertai lebih 100 peserta secara bersemuka dalam kalangan komuniti Muallim dan 3000 peserta dalam talian.

(Visited 77 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button