Rencah Hidup

Bestnya tanam pokok Bunga Telang, mudah dan ada hasil

Moh jenguk kebun Mak Teh

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN atau MAK TEH

PENGENALAN taman mini oleh Mak Teh asalnya sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang. Macam-macam pokok yang Mak Teh tanam. Pokok cili pun ada. Buat permulaan ini, Mak Teh nak kongsi cerita tentang Bunga Telang. Ada ni haa pokoknya kat rumah Mak Teh.

Boleh buat apa dengan bunga tu? Eh! Cantiknya kaler dia. Pokok dia berdiri ke menjalar? Kejap… Bunga Telang ni boleh makan kan. Tak keracuman, kan. Sedap ke rasa dia? Ooo inilah rupa bunga yang orang sibuk buat nasi kerabu tu…

Itulah antara reaksi yang diterima apabila membuat hantaran mengenai bunga telang atau nama saintifiknya, clitoria ternatea di media sosial. Bunga Telang ini kebiasannya digunakan untuk memasak Nasi Kerabu Biru atau Nasi Kerabu itey, kata orang Kelantan.

Namun kunjungan Mak Teh di sebuah hotel di Labuan mendapati, air Bunga Telang turut disediakan secara percuma kepada pengunjung di lobi sebagai ‘welcome drink’. Sedap pula rasanya!

Bunganya yang berkelopak nipis berwarna biru, apabila direndam dalam air panas dan dibiarkan seketika akan  mengeluarkan warna biru bak nila. Dan warnanya akan bertukar unggu jika dititiskan limau atau lemon hasil tindak balas daripada asid buah limau tersebut.

Sebenarnya, Mak Teh sudah lama mengenali Bunga Telang ini tetapi hanya mula menanamnya selepas diberikan biji benih oleh seorang rakan ketika berkunjung ke rumahnya di Jenderam, Selangor.

Ternyata rezeki yang dikongsikannya itu membuatkan Mak Teh semakin jatuh cinta untuk membelai pokok yang dikatakan banyak khasiat dan bagus untuk kesihatan dalaman wanita.

Bermula dari sebiji anak benih akhirnya pokok yang amat mudah membiak dan rajin berbunga ini menjadi penyeri kebun mini Mak Teh pula. Sudah menjadi rutin harian, bangun pagi, Mak Teh akan mengutip bunga-bunga telang ini tatkala kelopaknya masih segar.

Mak Teh akan rebus bunga-bunga ini bersama tiga helai daun pandan dan meminumnya tanpa gula. Rasanya memang sedap. Wangi pandan dengan air biru ini membuatkan tubuh Mak Teh berasa lebih segar. Jika diminum sejuk-sejuk bersama ais dan dibancuh pula dengan sedikit gula, lagilah nyaman tekak dibuatnya

Mak Teh juga memanfaatkan bunga telang ini dengan memasak nasi kerabu, nasi lemak, kuih butir nangka versi biru, kuih buah Melaka, dijadikan ulam, pulut kukus yang dimakan bersama kaya dan kuih ketayap.

Pendek kata, kita gunakan sahaja kreativiti yang ada untuk menghasilkan hidangan menyelerakan buat seisi keluarga.

Bukan susah pun hendak tanam pokok bunga telang ini. Biji benihnya akan terhasil daripada bunga-bunganya yang tidak dipetik.

Seawal tiga hari, ia akan berubah menjadi kacang berbentuk kacang peas. Selepas beberapa minggu ia akan bertukar menjadi kehitaman dan akan pecah sendiri.

Biji benih yang jatuh ke tanah (jika tidak dipetik) akan tumbuh menjadi anak-anak pokok. Penjagaannya sangat mudah. Jika di kampung, pokok Bunga Telang ini hidup liar di tepi-tepi rumah tetapi Mak Teh menanamnya di dalam pasu dan dibaja untuk memastikan ia sentiasa subur dan rajin berbunga.

Sepupu Mak Teh yang berniaga air di pasar malam memberitahu, air Bunga Telang menjadi pilihan ramai pengunjung, tidak kira tua atau muda.

Menurutnya, Bunga Telang kering dijual pada harga RM80 sekilo. Wah! Boleh tahan juga harganya dan di pasaraya pula, dijual dalam kuantiti yang sedikit, pun harganya boleh mencecah RM5.

Sudah semestinya tindakan Mak Teh menanam pokok Bunga Telang ini suatu yang betul dan tepat kerana jauh lebih jimat berbanding dibeli di pasar raya.

Ada rakan Mak Teh memaklumkan, bunga-bunga telang akan yang dikutip, dikeringkan dan dikisar menggunakan pengisar kering sehingga halus agar lebih mudah disimpan dan apabila perlu, digunakan.

Satu idea yang sangat bagus kerana selalunya ia dikeringkan dan terus disimpan, tidak pula dikisar. Jika hendak digunakan barulah direndam dalam air panas atau ditebus.

Bagaimanapun, cara Mak Teh berlainan sebab selepas bunga-bunga Telang ini dikutip, terus dimasukkan ke dalam plastik dan disimpan di bahagian sejuk beku peti sejuk. Ini kaedah Mak Teh sebab lebih suka tengok bunga dalam keadaan asal.

Semoga perkongsian pertama Mak Teh dalam SUARA MERDEKA ini, hasil pengalaman sendiri dalam menanam pokok Bunga Telang mampu menarik minat pembaca lain untuk turut sama menjadikan pokok ini sebagai pokok hiasan yang dapat memberi banyak manfaat kepada semua. – SM

(Visited 2,104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button