JenayahNasional

Bertopeng pandu Mitsubishi ASX, perompak guna tekanan gas letupkan mesin ATM

NEKAD, tiga suspek bertopeng dipercayai meletupkan dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Setia Alam, Selangor, pagi tadi dan melarikan wang tunai berjumlah RM349,000.

Ketiga-tiga suspek lelaki terbabit dipercayai memasuki ruang mesin ATM itu kira-kira jam 6.30 pagi dan mengambil masa kira-kira lima minit untuk meletupkan dua mesin berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu jam 6.48 pagi.

Polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua buah mesin ATM dalam keadaan rosak teruk dipercayai diletupkan.

“Siasatan awal di lokasi mendapati, sebuah ATM berjaya dibuka manakala sebuah lagi tidak berjaya dibuka. Siasatan setakat ini juga mendapati, tiga suspek dilihat memasuki premis ATM bank itu. Suspek menaiki sebuah kenderaan berwarna putih disyaki jenis Mitsubishi ASX.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kabur dan tidak jelas kerana suspek menyembur CCTV dengan cat hitam,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, pihak forensik, Unit Pemusnah Bom (UPB) turut ke tempat kejadian memastikan keadaan selamat serta membantu siasatan.

“Siasatan pihak forensik mendapati letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas. Tiada kesan kebakaran di tempat kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Suspek dipercayai melarikan wang bersama bekas wang dalam ATM berkenaan.

“Anggaran keseluruhan kerugian adalah RM409,000 membabitkan wang tunai RM349,000 manakala kerugian mesin ATM setiap satu RM30,000,” katanya sambil menambah, gerakan mengesan suspek sedang diperhebatkan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai Penyiasat kes ASP Mohammad Khairi di talian 012-2666025,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 8 saat memaparkan keadaan mesin ATM berkenaan dalam keadaan rosak teruk. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button