Agama

Bertoleransi kerana perintah Allah

Toleransi atau ‘Tasamuh’ yang ada dalam Islam ialah sesuatu yang datang dengan perintah Allah SWT. Ia adalah soal bagaimana kita beragama, bukan setakat bertolak ansur kerana ingin mengambil hati orang lain atau takut dengan pandangan orang luar atau bimbang pihak-pihak lain bertindak balas kepada kita. Toleransi ini kita laksanakan kerana perintah Allah SWT.

Demikian ucapan Mufti Perlis, Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin di dalam membicarakan tajuk “Toleransi Islam Dalam Suasana Muslim Masa kini” sempena Seminar Ummatan Wahidah Tahun 2021 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand yang berlangsung secara digital.

Tambah beliau, Allah tidak mahu kita penganut agama Islam dan pengikut Nabi Muhammad SAW melampaui batas di dalam berurusan dengan mereka yang berbeza agama dengan kita. Orang Islam bila bertoleransi bukan kerana atas apa-apa keuntungan tetapi semata-mata mematuhi titah perintah Allah SWT.

Allah SWT iaitu Tuhan yang diimani oleh orang Islam itu bukanlah Tuhan yang bersifat perkauman dan Tuhan yang sebenar kerana di dalam Islam, Tuhan ini tidak ada imaginasi terhadap rupa dan tiada gambaran Tuhan yang menyamai mahluk. Malah Tuhan dalam Islam itu adalah Tuhan untuk semua.

“Rahmat Islam datang daripada Allah SWT dan tidak datang untuk menjadikan manusia sebagai orang Arab. Islam merupakan agama yang paling cepat untuk tersebar dan kerana Islam tidak menyuruh manusia mengubah latar belakang kaum kerana kaum itu sendiri dicipta oleh Allah SWT. Agama Islam sepatutnya menjadikan kita sebagai umat contoh. Ummatan Wahidah itu ialah umat yang satu dan kuat, yang menjadi kita contoh untuk dilihat oleh orang lain”, tambah beliau lagi.

Terdahulu, dalam titah perasmian baginda, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkongsi bahawa komitmen jitu yang dipamerkan dalam kelangsungan kerjasama antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan 6 Majlis Agama Islam Wilayah Andaman Thailand ini merupakan satu tanggungjawab yang digalas bersama antara kedua-dua belah pihak. Ini juga merupakan satu bentuk usaha yang baik dan harus dipuji. Baginda berharap akan ada lebih banyak lagi kerjasama yang dapat dilakukan meskipun di dalam suasana penularan virus Covid-19 yang belum tahu bila akan ada penghujungnya ini.

Dalam pada itu, Dr Asri menambah bahawa orang Islam faham kita tidak boleh memaksa orang lain untuk memeluk islam. Justeru, tiada orang Islam yang terfikir untuk memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Ini jelas kerana “Tiada paksaan dalam agama”.

Di dalam soal Fekah Islam ini luas dan soal akidah ini jelas. Orang Islam tidak mengakui agama lain sebagai agama yang benar dan orang Islam pun tidak memaksa orang bukan Islam supaya mengatakan agama Islam itu agama yang benar dan tiada masalah jika dia tidak mengakui dan tidak akan dipaksa untuk mengakui.

Allah berfirman yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang melakukan keadilan.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)”. Ini adalah sifat agama, jelas beliau.

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button