Politik

Selamat Hari Jadi PN tapi apa hala tuju – Hamidah Osman

HARI ini genap setahun Perikatan Nasional (PN) mentadbir kerajaan selepas terdahulu, Pakatan Harapan (PH) berpeluang memerintah negara selama 22 bulan iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Hamidah Osman yang tampil sebagai tetamu Live @ Suara Merdeka hari ini berkata, selepas genap setahun memerintah, kerajaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat teraba-raba mencari arah untuk membawa rakyat ke arah terowong yang cerah.

“Ya setahun memerintah tetapi apakah hala tuju PN dibawah Muhyiddin kerana rakyat terus tidak nampak cahaya untuk keluar daripada kesusah hidup dengan dihimpit oleh pandemik Covid-19.

“Rakyat sukar untuk mencari makan, hilang pekerjaan, tiada pendapatan dan kalau dilihat pada perkembangan ekonomi, FDI kita menunjukkan negatif,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan PN sepatutnya bertindak dan melakukan sesuatu untuk memastikan pelaburan dalam negara tidak terus mengecil.

“Kita lihat betapa sukarnya untuk menarik pelabur dari luar, datang melabur ke negara kita dan apa yang menyedihkan, pelabur yang ada dalam negara telah lari keluar.

“Mereka melabur di negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura sedangkan mereka adalah pelabur yang sudah ada di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, kementerian atau agensi yang berkenaan perlu membuat langkah proaktif dan apabila Covid-19 diramalkan berakhir lima tahun akan datang, itu sekadar ramalan yang tidak ada kepastian.

Kata Hamidah, Covid atau tanpa Covid, kehidupan perlu diteruskan dan rakyat berhak menentukan siapakah kerajaan yang memerintah.

“Kita kehilangan hak dan hak itu perlu dikembalikan. Mandat yang diberi oleh rakyat ketika PRU lalu, kini tidak lagi digunapakai kerana PN bukanlah kerajaan pilihan rakyat.

“Untuk mengembalikan hak rakyat, perlu diadakan pilihanraya dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlulah tampil dengan SOP agar pengundi boleh keluar mengundi,” ujar beliau.

Katanya lagi, sebagai contoh, jika di satu-satu saluran terdapat 300 orang pengundi, mungkin jumlah itu boleh dikecilkan kepada 150 orang.

Hamidah berkata, dalam keadaan sekarang, kestabilan politik amat perlu untuk melonjakkan ekonomi Malaysia dan parti-parti politik yang mewakili orang Melayu tidak harus berpecah.

Kalau dilihat pada mata kasar, kata Hamidah, sebuah parti politik yang mewakili suara Melayu terpecah kepada enam kelompok atau puak.

“Pecahan ini amat tidak menguntungkan orang Melayu dan dalam ‘perkahwinan’ politik, mudah benar berlaku perceraian.

“Sekarang kita perlu fikir halatuju untuk membawa rakyat bukannya menggunakan pelbagai alasan retorik demi kelangsungan kuasa,” katanya. – SM

(Visited 503 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button