Politik

Bersatu umum kekosongan empat kerusi parlimen di Sabah

*NOTIS KEKOSONGAN KERUSI AHLI DEWAN RAKYAT MENURUT PERKARA 49A(3) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.*

1. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah menghantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat (4) daripada ahlinya yang telah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ahli parti BERSATU dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

2. Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah kepada YB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU-15 sebagai anggota BERSATU. Keahlian mereka dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sebagai anggota parti BERSATU.

3. Kenyataan pengerusi GRS yang juga pengerusi BERSATU Sabah pada waktu tersebut iaitu YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor pada 2 November 2022 turut mengumumkan bahawa terdapat 6 calon daripada parti BERSATU akan mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU-15.

4. Walau bagaimanapun, pada 10 Disember 2022 , YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin parti BERSATU Sabah telah keluar dari parti BERSATU.


5. Keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah YB Datuk Armizan bin Mohd. Ali (P.175 Papar), YB Khairul Firdaus Akbar Khan (P.185 Batu Sapi), YB Datuk Jonathan Yasin (P.179 Ranau) dan YB Datuk Matbali bin Musah (P.178 Sipitang).

6. Pada sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022 yang lalu, keempat-empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah berada di blok kerajaan. Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti BERSATU yang diterajui oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden BERSATU dan YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada para pengundi.

7. Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti BERSATU telah gugur mengikut perlembagaan parti BERSATU dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat BERSATU bertarikh 21 Disember 2022. Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.

8. Selanjutnya telah dipohon jua kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan tersebut.

*DATUK SERI DR RONALD KIANDEE.*
Ahli Parlimen Beluran
Naib Presiden BERSATU
29 Disember 2022.

(Visited 385 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button