Politik

Bersatu Sarawak perkasakan agenda utamakan rakyat

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak menyasarkan untuk lebih fokus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat dalam berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

Menurut Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf A. Suffian antara fokus permasalahan rakyat adalah memastikan pembangunan asas luar bandar, memperkasa soal agenda sosio ekonomi terutama melibatkan bidang keusahawanan dan isu baik pulih sekolah daif antara yang akan dijadikan agenda utama parti itu tahun ini.

“Soal ini bukan sahaja dilakukan sempena pilihan raya malah ia telah dilakukan sejak awal penubuhan Bersatu di negeri ini dengan melakukan pelbagai program khidmat masyarakat melibatkan pelbagai golongan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat yang ditemui timbul akibat kegagalan kepimpinan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) membantu dan menyelesaikan masalah asas seperti air dan elektrik. Ini sesuatu yang menyedihkan walaupun GPS telah memerintah Sarawak lebih 50 tahun,” kata Jaziri Alkaf.

Katanya lagi, antara pelbagai program yang dillakukan oleh Bersatu Sarawak adalah walkabout dan randau bersama rakyat di rumah panjang seperti di Julau, Bintulu, Marudi, Lundu dan banyak lagi.

Selain itu beberapa program memberi bantuan akibat bencana turut dilakukan melibatkan keluarga mangsa di Sri Aman dan beberapa lagi selain program ‘back to school’ untuk membantu pelajar sekolah yang kurang berkemampuan.

“Saya juga ingin memaklumkan beberapa perbincangan akan diadakan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) tentang isu pengagihan kerusi dalam berhadapan PRN kelak.

“Kerjasama yang lebih erat dengan parti komponen adalah amat penting untuk PH memenangi PRN Sarawak. Walaupun Bersatu Sarawak adalah komponen baharu dalm PH negeri namun adalah penting kami bertindak seiring dengan matlamat besar PH,” kata Jaziri Alkaf selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sarawak, di Miri, hari ini.

Dalam pada itu, Bersatu Sarawak juga menyasarkan akan melantik 6,000 orang untuk mengetuai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh kampung dalam Sarawak dalam masa terdekat.

Menurut Jaziri Alkaf, kesemua mereka ini termasuk pengerusi dan setiausaha MPKK yang akan diberi latihan terlebih dahulu sebelum boleh bergerak ke kampung masing-masing.

Kata Jaziri, dengan pelantikan ini yang akan dilakukan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) maka sebarang program yang bakal dilakukan boleh dilaksanakan dengan teratur dan fokus kepada mereka yang memerlukan. -SM

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button