Politik

Bersatu Langkawi tidak terbubar, dakwa naib ketuanya

BERSATU Bahagian Langkawi menafikan dakwaan bahagian itu terbubar berikutan keahlian ketua bahagiannya terhenti serta tindakan timbalan ketua bahagian bersama tujuh ahli jawatankuasa (AJK) meletak jawatan dan keluar parti.

Naib Ketua Bahagian Bersatu Langkawi Hashim Md Noh berkata, perlembagaan parti Fasal 19 (19.9) memperuntukkan jawatan naib ketua bahagian akan memangku setelah ketiadaan ketua bahagian atau timbalan ketua bahagian.

Bernama melaporkan, Hashim menjelaskan Bersatu Langkawi memiliki 18 orang AJK bersama empat lagi yang dilantik di bawah kuasa diperuntukkan kepada ketua bahagian.

“Jumlah AJK Bersatu Bahagian Langkawi ialah 22 orang termasuk empat yang dilantik untuk jawatan Setiausaha, Ketua Penerangan, Bendahari dan AJK lantikan.

“Selepas keahlian Ketua Bahagian (Tun Dr Mahathir Mohamad) terhenti dan peletakan jawatan oleh Timbalan Ketua Bahagian (Shukor Bahari), Ketua Srikandi Azlina Mansor serta enam AJK kepimpinan, bahagian ini masih mempunyai sembilan AJK yang sah mengikut perlembagaan,” katanya pada sidang media di Langkawi, malam tadi.

Turut hadir Ketua Armada, Amar Pared Mahamud, Timbalan Ketua Srikandi Rohaiza Sharif serta enam lagi AJK yang kekal dalam Bersatu Bahagian Langkawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah Mohd Firdaus Ahmad dan Adun Ayer Hangat Juhari Bulat.

Pada Ahad lalu Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Langkawi Shukor Bahari mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar dari parti tersebut berkuat kuasa serta-merta selain mendakwa 22 AJK bahagian tersebut turut menyertainya.

Pada sidang media sama, Hashim turut mengumumkan pelantikan baharu jawatan Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan untuk meneruskan wadah perjuangan parti tersebut.

“Saya selaku Naib Ketua Bahagian mengikut Fasal 19 (19.9) yang diperuntukkan kuasa melantik dengan ini mengumumkan Mohd Firdaus sebagai Setiausaha, Juhari (Bendahari) dan Ahmad Nazlan Abu Hassan (Ketua Penerangan).

“Bersatu Langkawi akan turut melantik empat lagi AJK baharu menjadikan jumlah keseluruhan kekuatan kepimpinan bahagian ini seramai 16 orang,” katanya.-SM

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button