Politik

Bersatu bersikap terbuka duduk berbincang dengan parti lain

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 29 April – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap akan menjalinkan kerjasama dengan parti
pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tidak salah untuk semua parti politik bersikap
terbuka untuk duduk berbincang bersama-sama demi masa depan rakyat.

Menurutnya, Bersatu mahu berkerjasama dengan parti politik lain dan rakan parti komponen di dalam
Perikatan Nasional (PN) bukan semata-mata untuk menang dalam PRU-15 tetapi sebaliknya mempunyai
tanggunhjawab besar dalam menentukan hala tuju negara.

“Kita (Bersatu) adalah satu kumpulan yang memikirkan tanggungjawab untuk kepentingan rakyat, jadi untuk
kepentingan rakyat biarlah kita mempunyai sikap terbuka maknanya kita boleh duduk berbincang semata-mata
untuk menentukan masa depan rakyat.

“Kita bukan sahaja nak membincangkan soal PRU-15 tetapi berbincang untuk menentukan bagaimana hendak
menentukan masa depan negara yang baik, cara mana? strategi bagaimana?

“Semua itu harus difikirkan bersama kalau mereka benar-benar mahu berkecimpung dalam politik biarlah
semuanya mempuyai fikiran yang terbuka.

“Ia adalah untuk memastikan bahawa kalau apa yang dilakukan sama ada kerajaan atau bukan kerajaan mesti
dapat menyamai atau dapat meraikan segala tujuan matlamat agenda kerajaan sebenarnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadapi Iftar Ala Madinah peringkat Parlimen Tangga
Batu di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong yang turut dihadiri Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq
Naizamohideen di sini hari ini.

Ditanya mengenai pendekatan khemah besar bagi menghadapi PRU-15 Hamzah berkata, ia adalah cadangan dan
permintaan daripada DAP.

Tegasnya, sehingga kini Bersatu atau PN belum membuat sebarang pendirian mengenai perkara tersebut.

“Semua mempunyai pandangan yang berbeza-beza tetapi apa yang paling penting adalah matlamat kita
berpolitik demi untuk menentukan masa depan negara dan rakyat.

“Cara bagaimana, siapa orangnya, perkara tersebut harus difikirkan bersama,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendekatan khemah besar
belum dibincangkan dengan rakan parti komponen di dalam PN.

Menurutnya, parti itu belum membuat sebarang pendirian berkaitan perkara tersebut bagi menghadapi PRU-15.

 

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button