Belang Bertempat

MPN serius tangani masalah siswazah terjejas kesan Covid-19

Oleh Dr Syed Agil Alsagoff

GOLONGAN mahasiswa tidak terkecuali berdepan dengan cabaran untuk meneruskan pengajian terutama pada pasca Covid-19. Keluhan ini walau pun agak kurang kedengaran memandangkan mereka lebih suka berusaha selagi daya.

Ini tidak bermakna jika tidak meminta-minta, kita hanya pandang sebelah mata tanpa sebarang bantuan. Desakan hidup pasca Covid-19 menjadikan golongan  pelajar terkesan bersikap matang.

GAMBAR HIASAN

Mereka bijak berhadapan tekanan dengan membahagikan masa sebaik mungkin untuk menyara hidup di kampus. Pagi hingga petang masing-masing hadir kuliah dan menyiapkan tugasan manakala sebelah malam yang sepatutnya digunakan untuk mengulangkaji, dikorbankan dengan melakukan kerja sambilan.

Wang pendapatan pula diagih-agihkan dengan adik-beradik lain untuk belanja sekolah. Kesusahan yang dihadapi ini satu realiti sebaik dunia beralih pada fasa endemik.

Ada juga kes pelajar terpaksa menangguhkan pengajian untuk tempoh satu atau dua semester bagi membolehkan masing-masing berikhtiar memulihan ekonomi keluarga. Sebahagian besar daripada pelajar yang terkesan ini terdiri daripada keluarga yang terputus pendapatan ketika Covid-19.

Ketua keluarga diberhentikan kerja dan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan juga tidak mampu bertahan.

Melihatkan hidup semakin tertekan, pelajar terpaksa menggalas tanggungjawab memikir dan mengatasi keperitan untuk kelangsungan hidup keluarga.  Saya menyaksikan kesengsaraan mereka. Ini satu kenyataan bukan retorik.

Berhadapan dengan situasi yang sangat mencabar ini, pihak pengurusan setiap institusi pengajian tinggi (IPT) perlu lebih peka dengan memberi kelonggaran kepada golongan pelajar terkesan ini sekurang-kurangnya menangguhkan bayaran yuran pengajian.

Sebelum ini, pelajar yang gagal melunaskan bayaran yuran pengajian, keputusan peperiksaan disekat pada semester berkenaan.

Berhadapan situasi ini, pihak pengurusan IPT perlu lebih rasional dengan mengecualikan syarat berkenaan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) saban bulan membincangkan inisiatif membantu golongan siswa yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Dalam menangani cabaran hidup yang semakin getir ini, umum dapat melihat bagaimana Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu prihatin atas nasib rakyat.

MPN mengambil langkah proaktif menangani kemiskinan rakyat ketika berhadapan dengan tekanan hidup kesan daripada pandemik Covid-19.

Sekumpulan penyelidik MPN agresif turun padang melihat sendiri kesusahan rakyat yang perlu ditangani segera dalam suasana ekonomi negara yang semakin tertekan.

Segala hasil kajian penyelidik terdiri daripada pakar ekonomi dan sosial dikemukakan kepada kerajaan untuk tindakan serta-merta.

MPN dalam laporannya menyatakan, rakyat kini ramai yang susah dan mereka sangat memerlukan bantuan. Ini berikutan jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang miskin sudah melebar daripada B40 kepada B60.

Keperluan pelajar di IPT perlu diberi perhatian khusus supaya mereka ini dapat meneruskan pengajian dengan lancar dalam suasana semakin mencabar.

Sehingga Februari lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaporkan sejumlah 1.2 juta penuntut IPT seluruh negara yang mana daripada jumlah itu, sebanyak 442,559 atau 38 peratus daripada mereka berusia antara 18 hingga 20 tahun. Jumlah ini meningkat pada sesi pengajian 2022/2023 dengan sejumlah 90,745 kemasukan baharu.

Laporan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sehingga Oktober lalu menyatakan pihaknya menerima sejumlah 470,000 permohonan daripada pelajar untuk mendapatkan bantuan tablet menerusi program PerantiSiswa.

Bagaimanapun hanya 350,000 permohonan sahaja yang diluluskan. Selebihnya, tak kan sekadar berputih mata. Bagi memenuhi permohonan pelajar yang membuat rayuan pula, kementerian sehingga awal November menambah 50,000 unit peranti lagi.

Data itu menunjukkan 33 peratus daripada populasi berkenaan berada dalam keadaan sangat terkesan dan memerlukan bantuan. – SM – Dr Syed Agil Alsagoff – Penulis adalah Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button