Politik

PAS minta maaf insiden Dominic Lau dihalau-Takiyuddin

JIKA Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tak ada apa yang nak dijelaskan oleh PAS kepada Gerakan berhubung insiden Presiden parti itu yang juga merupakan Ketua Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau dihalau daripada ceramah PAS di Sungai Dua pada Selasa lalu, lain pula kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, sebagai Presiden rakan gabungan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan calon PRN, kehadiran Lau perlu “dihargai sebagai tetamu”.

Sehubungan itu, Takiyuddin dalam kenyataannya berkata, PAS meminta maaf atas insiden Presiden Gerakan Dominic Lau yang didakwa dihalang menghadiri ceramah parti tu di Sungai Dua, Pulau Pinang, Selasa lalu.

“PAS merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Lau yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

“Bagi pihak kepimpinan PAS Pusat, saya percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menggesa PAS menjelaskan punca Presidennya, Lau dihalang menghadiri ceramah parti PAS di Sungai Dua.

Video oleh Malaysiakini menunjukkan Lau dihalang oleh seorang pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti Naib Presiden parti itu, Idris Ahmad ke atas pentas.

Apabila ada yang memprotes, kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Lau, “Tak boleh (Tidak boleh). You go away.”

Selain itu, Takiyuddin berkata, PAS sedar politik gabungan cenderung menimbulkan rasa tidak puas hati terutamanya dalam isu pembahagian kerusi dan pemilihan calon.

Bagaimanapun, beliau menggesa agar semua ahli dan penyokong PAS meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai Presiden Hadi Awang dan menerima keputusan kepimpinan dengan hati terbuka.

“Saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Presiden PAS sendiri,” katanya.

Sebelum ini, pencalonan Lau di DUN Bayan Lepas dikatakan mengecewakan akar umbi PAS di kerusi yang majoriti adalah orang atau pengundi Melayu itu. – SM

BACA PAS beritahu Gerakan berhubung insiden Dominic Lau ‘dihalau’, tiada apa nak dijelaskan

BACA Presiden Gerakan ‘dihalau’ pemimpin PAS Pulau Pinang: Oh gesa penjelasan

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button