Nasional

Gunakan kuasa beli pengguna di sebalik angka inflasi

Inflasi dalam kehidupan kita

TAHUKAH anda harga roti canai kosong sekarang rata-rata adalah antara RM1.20 dan RM1.80 sekeping? Makanan penghubung antara budaya dan bangsa ini pada zaman kanak-kanak kita hanya dijual pada harga di bawah RM0.50 sekeping!

Fenomena ini dikenali sebagai inflasi, iaitu kenaikan harga yang berlaku pada barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa – satu realiti kehidupan yang tidak dapat dielakkan, malah mengiringi kehidupan kita seumur hidup. Oleh itu, kita harus memahami inflasi dengan lebih mendalam sambil mengupasnya dengan minda terbuka.

Pemahaman di sebalik angka inflasi

Setiap bulan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mengeluarkan maklumat berkenaan inflasi negara. Apakah makna angka tersebut bagi orang awam? Ada yang gusar, tapi lebih ramai yang tidak memberikan apa-apa reaksi kerana mungkin mereka tidak memahami angka-angka tersebut dan kesannya kepada kehidupan mereka.

Dalam istilah ekonomi, inflasi bermaksud suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Ia merupakan indikator bagi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia. Mungkin masih teknikal? Artikel ini bertujuan untuk berkongsi sedikit maklumat untuk meningkatkan pengetahuan serta kefahaman yang sebenar mengenai inflasi dan memainkan peranan sebagai pengguna yang bijak.

 Apakah Itu Inflasi?

Secara umumnya, inflasi merupakan satu kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu. Kadar inflasi lazimnya diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa.

Terdapat rakyat yang beranggapan bahawa apabila kadar inflasi menunjukkan peningkatan, bermakna harga bagi semua barangan dan perkhidmatan telah naik dan menjadi semakin mahal. Apakah tanggapan itu benar? Bagi menjawab persoalan ini, terlebih dahulu perlu difahami apakah maksud di sebalik angka inflasi dan apakah kaedah yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi.

Pengkelasan barangan dan perkhidmatan

Sebelum memahami bagaimana kadar inflasi diukur, pengkelasan terhadap setiap item barangan dan perkhidmatan perlu diketahui terlebih dahulu. Pemilihan item dalam bakul barangan dan perkhidmatan adalah berasaskan kepada nilai penggunaan yang diperolehi melalui Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dilaksanakan 2 kali dalam tempoh 5 tahun. Sebanyak 168,000 harga yang melibatkan 552 barangan dan perkhidmatan dengan 781 spesifikasi dikutip setiap bulan di seluruh negara di lebih kurang 21,800 premis/kedai terpilih. Data tersebut mewakil sampel yang dipilih secara saintifik daripada harga yang dibayar oleh pengguna bagi barangan dan perkhidmatan yang dibeli.

Spesifikasi bagi setiap item barangan dan perkhidmatan akan dikelaskan kepada setiap kelas perbelanjaan dan kemudian disusun mengikut sub-kumpulan barangan dan perkhidmatan. Sub-kumpulan ini kemudian dikategorikan kepada kumpulan utama.

Terdapat 12 kumpulan utama barangan dan perkhidmatan mengikut susunan wajaran seperti berikut:

 

Bagaimana inflasi diukur?      

Seperti yang dinyatakan diperingkat awal tadi, kadar inflasi diukur melalui pengiraan IHP. IHP mengukur perubahan harga bagi sesuatu barangan dan perkhidmatan yang diterjemahkan dalam bentuk indeks berwajaran. Kadar inflasi pula mengukur peratus perubahan yang berlaku pada tingkat harga tersebut. IHP menggunakan asas harga tahun 2010 dengan indeks asas sebanyak 100 bagi tujuan perbandingan pengiraan.

Sebagai contoh, indeks harga bagi sub-kumpulan ikan pada bulan Jun 2020 ialah 153.4 bermaksud harga barangan dan perkhidmatan telah meningkat sebanyak 53.4% di antara Jun 2010 sehingga Jun 2020. Manakala, inflasi sub-kumpulan ikan bagi bulan Jun 2020 yang mencatatkan kadar 0.7% bermaksud indeks harga bagi Jun 2020 telah meningkat sebanyak 0.7% berbanding Jun 2019.

Setiap item spesifikasi barangan dan perkhidmatan mempunyai kadar inflasi masing-masing. IHP digunakan untuk mengukur kadar inflasi bagi setiap item spesifikasi barangan dan perkhidmatan ini. Oleh itu, kadar inflasi terdapat di setiap peringkat pengkelasan item, kelas perbelanjaan, sub-kumpulan sehingga ke kumpulan utama. 

Apakah maksud Wajaran dalam IHP?

Item-item di dalam bakul barangan setiap kumpulan utama mempunyai wajaran atau nilai pemberat yang berbeza-beza merujuk kepada kecenderungan atau kepentingan pengguna terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan itu. Semakin banyak perbelanjaan isi rumah ke atas sesuatu item tersebut, maka semakin tinggi nilai peratus wajarannya.

 

Tiga kumpulan utama yang mempengaruhi keseluruhan inflasi

Daripada 12 kumpulan utama, 3 kumpulan merupakan kumpulan yang mempunyai nilai wajaran yang tertinggi iaitu:

Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol mempunyai wajaran terbesar dalam IHP yang merangkumi 29.5% daripada keseluruhan perbelanjaan barangan dan perkhidmatan oleh pengguna isi rumah.

Kumpulan ini dibahagikan kepada 3 pengelasan utama iaitu:

Di bawah Makanan di rumah, terdapat 9 sub-kumpulan mengikut susunan wajaran seperti di paparan berikut:

Manakala, di bawah Makanan di luar rumah, terdapat 19 sub-kumpulan mengikut susunan wajaran seperti di paparan berikut:

Kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain mempunyai wajaran kedua terbesar dalam IHP yang merangkumi 23.8% daripada keseluruhan perbelanjaan barangan dan perkhidmatan oleh pengguna isi rumah. Di bawah kumpulan ini, terdapat 4 sub-kumpulan mengikut susunan wajaran berikut:

Kumpulan pengangkutan mempunyai wajaran ketiga terbesar dalam IHP yang merangkumi 14.6% daripada keseluruhan perbelanjaan barangan dan perkhidmatan oleh pengguna isi rumah. Terdapat 3 sub-kumpulan di bawah kumpulan ini mengikut susunan wajaran berikut:

 

Jika diteliti kelas perbelanjaan di bawah sub-kumpulan pengurusan pengangkutan persendirian,  Bahan api & pelincir untuk pengangkutan persendirian, yang terdiri daripada petrol RON95 (wajaran: 93.8%), RON97 (wajaran: 3.5%) dan Diesel (wajaran: 2.7%) merangkumi sebanyak 8.5% daripada 14.6% wajaran keseluruhan kumpulan pengangkutan dan juga keseluruhan bakul IHP.

Dalam erti kata lain, kelas perbelanjaan bagi Bahan Api & Pelincir untuk Pengangkutan Persendirian merupakan wajaran yang terbesar dalam bakul IHP dan RON95 merupakan item yang mewakili wajaran terbesar dalam kelompok ini. Oleh itu, perubahan harga jualan runcit RON95 merupakan elemen yang sangat mempengaruhi perubahan dalam inflasi kumpulan Pengangkutan yang seterusnya memberikan impak yang signifikan kepada perubahan inflasi secara keseluruhannya.

 

Analogi Wajaran dalam konteks perbelanjaan

 Dalam konteks perbelanjaan isi rumah pengguna, wang poket sebanyak RM100.00 akan dibelanjakan mengikut kepentingan berikut:

  • RM29.50 (29.5%) akan digunakan untuk perbelanjaan makanan dan minuman bukan alkohol sahaja;
  • RM23.80 (23.8%) digunakan untuk perbelanjaan berkaitan perumahan seperti bayaran bil air, bil elektrik, gas dan sebagainya; manakala
  • RM14.60 (14.6%) digunakan untuk perbelanjaan bagi Pengangkutan seperti penggunaan petrol kenderaan, diesel, bayaran tiket penerbangan, bayaran tol, bayaran parking dan sebagainya.

Ini bermaksud, lebih kurang 68% perbelanjaan isi rumah akan digunakan bagi tujuan ketiga-tiga kumpulan di atas, manakala selebihnya akan digunakan untuk lain-lain perbelanjaan. Oleh kerana barangan dan perkhidmatan dalam ketiga-tiga kumpulan ini mendominasi keseluruhan perbelanjaan isi rumah, maka ia adalah amat relevan dan signifikan kepada pengguna. Dalam hal ini, sebarang kenaikan harga yang berlaku dalam mana-mana barangan dan perkhidmatan di bawah ketiga-tiga kumpulan ini akan memberikan kesan besar kepada perbelanjaan isi rumah pengguna.

Apa yang boleh kita rumuskan adalah seperti berikut:

Oleh kerana nilai inflasi ini dibentuk daripada 781 item spesifikasi barangan dan perkhidmatan, maka apabila inflasi pada bulan tertentu mencatatkan peningkatan, tidak bermakna keseluruhan barangan serta perkhidmatan turut mengalami kenaikan harga. Sebagai contoh, inflasi April 2021 sebanyak 4.7% memberi gambaran secara umumnya perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membeli barangan dan perkhidmatan meningkat berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga gambarannya untuk kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang turut memperlihatkan peningkatan kadar inflasi.

Namun secara hakikatnya, pengguna tidak membeli kesemua item-item dalam kumpulan tersebut, sebaliknya membeli mengikut keperluan individu. Jika kita menjurus kepada item-item spesifik dalam kumpulan berkenaan, kita dapati bukan semua item mencatatkan peningkatan harga. Bagi bulan April 2021, sebanyak 32 item di bawah kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol didapati mengalami penurunan harga berbanding tahun sebelumnya.

 

Peranan pengguna yang bijak

Inflasi berkait rapat dengan faktor permintaan pengguna kerana apabila permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan meningkat serta mengatasi kemampuan kuantiti pengeluaran barangan dan perkhidmatan oleh pembekal, peningkatan harga akan berlaku.

Inflasi juga mencerminkan kuasa beli pengguna. Secara teorinya, inflasi mempunyai hubungan yang berlawanan dengan kuasa beli di mana apabila inflasi berlaku, maka kuasa beli pengguna akan menyusut kerana kurangnya kemampuan pengguna untuk membeli barangan yang pada itu di tahap yang mahal.

Walau bagaimanapun, corak pembelian dan perbelanjaan rakyat Malaysia secara amnya dilihat cenderung untuk membeli barangan yang biasa dibeli. Dalam erti kata lain, pengguna di Malaysia akan membeli barangan yang biasa dibeli walaupun harganya meningkat. Oleh kerana itu, permintaan pengguna masih wujud dan kenaikan harga akan tetap berlaku.

 

Kuasa beli pengguna mampu mengawal harga

Petunjuk kenaikan harga bagi sesuatu barangan atau perkhidmatan menerusi kadar inflasi boleh menjadi satu rujukan kepada pengguna untuk membuat perbandingan harga. Gelagat pembelian pengguna (Consumer Purchasing Behaviour) yang selama ini cenderung memilih item kegemaran walaupun harganya tinggi, harus diubah dan digalakkan supaya membuat perbandingan harga terlebih dahulu dan mencari produk atau jenama alternatif yang menawaran harga berpatutan. Pengguna harus mempunyai kesedaran bahawa mereka berhak untuk memilih barangan dan perkhidmatan yang harganya adalah jauh lebih rendah tetapi mempunyai kualiti yang sama dengan item kegemaran mereka.

Sebagai contoh, “Makcik Kiah gemar membeli bawang kecil merah (rose) India untuk masakan beliau. Walau bagaimanapun, harga bawang tersebut didapati mahal pada ketika itu. Makcik Kiah akhirnya membuat keputusan untuk membeli bawang kecil merah Myanmar yang harganya jauh lebih murah berbanding bawang kecil merah (rose) India pada ketika itu.”

Perubahan gelagat pembelian seperti yang dilakukan oleh “Makcik Kiah” boleh juga berlaku kepada pengguna-pengguna lain dan ini akan sedikit sebanyak dapat mempengaruhi permintaan terhadap sesuatu barang di pasaran. Seterusnya impak kepada pengurangan permintaan pengguna ini akan dapat membantu mengawal harga di pasaran.

Selain itu, pengguna tidak sepatutnya taksub kepada jenama tertentu, jenis bararangan tertentu dan premis kedai tertentu sahaja. Pilihan ditangan pengguna. Pengguna bebas untuk memilih barangan atau perkhidmatan di mana-mana premis yang menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada mereka. Aplikasi seperti  Price Catcher yang disediakan oleh KPDNHEP amat berguna dalam membantu pengguna membuat perbandingan premis yang menawarkan pelbagai pilihan item dengan harga yang berbeza. Price Catcher secara tidak langsung dapat melihat situasi harga runcit di pasaran setiap hari di samping membantu pengguna membuat keputusan yang bijak dalam pembelian. Dengan adanya aplikasi ini, pengguna dapat dipupuk supaya merancang pembelian dengan bijak dan membudayakan gelagat ini di kalangan pengguna.

Bagaimana untuk Menjadi Pengguna Yang Bijak?

Dalam isu ini, inflasi boleh dikawal dengan memperbaiki gelagat pembelian. Pengguna boleh menjadi seorang pengguna yang bijak dengan langkah-langkah berikut:

Peranan pengguna sebagai kuasa beli mampu mempengaruhi permintaan dan pengeluaran di peringkat pengeluar/pembekal yang dapat menentukan perubahan dalam harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Ini kerana pengeluaran sesuatu barangan dan perkhidmatan bergantung kepada permintaan pengguna.

Oleh yang demikian, sekiranya pengguna boleh berbelanja dengan bijak, perubahan harga di pasaran dapat dikawal seterusnya mampu memberi kesan kepada kadar inflasi. – SM

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button