Nasional

‘Bersabar dan tolak ansur’, – pesanan Raja Permaisuri Agong dalam Majlis Selamat Jalan Bakal Jemaah Haji

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia yang akan berlepas ke Tanah Suci dari Kompleks Haji Sepang, di sini hari ini.

Pada awal titah, Tunku Azizah memaklumkan baginda mewakili Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak dapat hadir kerana bengkak pada bahagian buku lali dan dinasihatkan berehat oleh doktor.

“Saya ingin sampaikan salam Tuanku yang minta maaf tidak dapat hadir atas faktor kesihatan. Seri Paduka ucapkan tahniah kepada yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah bagi musim haji tahun ini,” titah Tunku Azizah.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengingatkan jemaah haji supaya memperkukuh ketahanan mental dan fizikal serta bertolak ansur dan sabar ketika berada di Arab Saudi.

Membaca titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda bertitah sejuta umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di Tanah Suci untuk menunaikan haji musim ini.


Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya terus menjaga kesihatan, kebersihan diri dan mematuhi prosedur operasi standard di samping memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan haji.

“Perhimpunan besar sebegini pastinya mencabar, di samping mengajar umat Islam untuk bersabar, bertolak ansur dan tolong menolong tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.

“Jemaah haji diingatkan supaya menjaga akhlak dan menjauhi segala unsur tidak sihat yang boleh menjejaskan imej dan nama baik negara,” katanya pada majlis menghantar jemaah haji di Mövenpick Hotel & Convention Centre di sini hari ini.

Hadiah sumbangan daripada RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada bakal jemaah haji pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Bakal Jemaah Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar.

Mengambil iktibar daripada menunaikan haji, beliau turut berharap umat Islam di Malaysia terus bersatu padu tanpa melihat kepada perbezaan yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Seramai 291 jemaah haji akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima musim 1443H/2022 ini.

Seratus tiga puluh lima daripadanya adalah jemaah lelaki dan baki 156 lagi adalah jemaah wanita.

Mereka akan menaiki penerbangan Saudia Airlines (SV 5633) ke Jeddah pada 4.45 petang (waktu Malaysia) dan dijangka tiba pada 8.10 malam (waktu Arab Saudi).

Terdapat 48 penerbangan untuk musim haji 1443H mulai 4 Jun dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 2 Julai.

(Visited 67 times, 4 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button