Politik

Muhyiddin rayu rakyat Johor keluar beramai-ramai mengundi Sabtu ini, patuh SOP pandemik

MUAR 10 Mac – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu penduduk di Johor untuk keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Malah beliau turut meminta pengundi yang sudah berdaftar dan berada di luar Johor seperti di Kuala Lumpur, Kelantan, Kedah, Perak serta negeri-negeri lain balik untuk menunaikan tanggungjawab.

“Kita mahu peratusan yang keluar mengundi itu besar dan bila dah keluar beramai-ramai itu kita boleh menentukan untuk membentuk sebuah kerajaan baru di Johor.

“Itulah saya merayu supaya baliklah, lagipun esok dan Sabtu hari cuti ini akan memudahkan urusan proses mengundi berjalan lancar,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Hari Wanita 2022 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Haron.

Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRN Johor, Sabtu ini.

Muhyiddin berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen kuasa adalah kepada rakyat yang menentukan kerajaan yang akan dibentuk untuk memajukan negara.

“Sebab itu menunaikan tanggungjawab keluar mengundi adalah wajib. Kalau tak keluar mengundi rugilah kita,” ujarnya lagi.

Jelas beliau lagi, kebimbangannya apabila ada sebahagian rakyat tidak mahu keluar mengundi kerana kebimbangan penularan Covid-19.

“Apa salahnya untuk keluar mengundi kalau kita patuh dan ikut prosedur operasi standard (SOP) dan bukan jadi halangan untuk kita memilih kerajaan yang bakal mentadbir Johor selepas Sabtu ini,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat akan rugi jika peluang yang ada untuk keluar mengundi tidak dimaanfatkan sewajarnya.

Ini kerana kata Muhyiddin lagi, untuk membentuk sebuah kerajaan bukan ditangan sebilangan kecil rakyat tetapi seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button