
Berlumba-lumba dalam melakukan kebajikan, siapa cepat dia dapat
PENDEDAHAN media mengenai status tanah wakaf yang menjadi tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Perak amat mengejutkan, namun ia membuka peluang kepada seluruh umat Islam untuk berebut mendapatkan pahala untuk membeli tanah berkenaan.
Tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid, dan pemilik baharu yang juga seorang bukan Islam menetapkan harga sebanyak RM1.8 juta untuk dibeli semula dan ia berlaku sejak 2015 lagi.
Kejayaan untuk seluruh rakyat Malaysia mengumpul lebih RM2 juta dalam tempoh 36 jam membuktikan umat Islam boleh berpadu tenaga, memainkan peranan untuk menyelamatkan masjid berkenaan, termasuk lebih 30 pusara yang ada di kawasan itu.
Secara umumnya, inilah jihad yang menjadi contoh kepada umat Islam bukan saja di kawasan Alor Pongsu ini, malah di seluruh negara.
Tidak perlu slogan berkobar-kobar, cukup dengan niat berjuang ke jalan ALLAH, semua pihak membuktikan bahawa jumlah yang besar bukanlah halangan dan ia boleh dikutip dalam masa beberapa hari jika kita semua memahami konsep bersedekah atau infak yang sebenar. Siapa cepat merebut peluang yang terhidang, dialah yang berutung.
“Dan untuk yang demikian itu maka hendaklah orang-orang berlumba-lumba.”
(Surah Al-Mutaffifin: 26)
“Maka berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik)…”
(Surah Al-Baqarah: 148)
Kali ini, dengan satu langkah mudah sama ada berkongsi mengenai keperluan mendesak masjid ini di media sosial, atau menjadi individu yang menyumbang dana serendah RM1, masalah itu memang boleh diselesaikan.
Kiraan mudah dianggarkan kira-kira 16 juta rakyat Malaysia adalah beragama Islam dan jika 10 peratus daripadanya menyumbang RM1, maka jumlah terkumpul sudah hampir pasti dapat menyelamatkan Masjid Ar-Rizwan ini.
Itu belum dikira sumbangan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat atau sesiapa saja yang memilih untuk bertanggungjawab dalam isu yang menyentuh hati ini.
Dengan semangat perjuangan demi agama yang kita ada, hanya dalam tempoh tiga hari, jumlah terkumpul melebihi daripada yang diperlukan kerana ini masjid kita. Kalau bukan kita yang akan menyelamatkannya, siapa lagi?
Mengikut laporan berita pemilikan sebahagian lot tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, di sini telah berpindah tangan sebanyak dua kali dengan pemilik terkini pada asalnya tidak mengetahui ia merupakan tanah wakaf.
Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusuf Majid berkata, struktur utama masjid berkenaan terletak di atas lot bernombor 6269, manakala dewan terbuka didirikan di atas Lot 6267.
Katanya, kontroversi timbul apabila Lot 6271 seluas 0.61 hektar yang didakwa telah diwakafkan secara lisan kepada masjid telah dijual oleh waris pewakaf kepada pihak luar tanpa pengetahuan pihak masjid.
“Ahli jawatankuasa masjid ketika itu hanya menyedari perkara ini sekitar 2015 semasa kerja-kerja pengukuran semula tanah perkuburan dilakukan. Semakan mendapati Lot 6271 telah bertukar milik dan kini didaftarkan atas nama individu bukan Islam,” katanya.
Yusuf berkata, tanah berkenaan dipercayai telah dijual oleh anak pewakaf kepada seorang lelaki berbangsa Cina dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum dijual sekali lagi melalui seorang broker kepada individu bernama Tan yang kini menetap di Kuala Lumpur.
“Pemilik baharu, Tan, tidak mengetahui bahawa tanah tersebut menempatkan struktur dewan muslimah, tandas wanita serta lebih 30 pusara umat Islam,” katanya.
Katanya, Tan menyedari dirinya telah tertipu dalam urusan pembelian tersebut dan pernah beberapa kali hadir bersama peguam untuk berbincang dengan jawatankuasa masjid sebelum ini.
“Tan menawarkan dua pilihan iaitu sama ada pihak masjid membeli semula tanah berkenaan, atau merobohkan struktur sedia ada. Pada awalnya, pemilik menawarkan harga yang sangat tinggi, menyebabkan pihak masjid tidak mampu membelinya.
“Selepas saya mengambil alih jawatan pengerusi, beliau sekali lagi hadir dan menurunkan harga kepada RM1.8 juta,” katanya.
Pengajaran yang perlu diambil adalah agar pihak berkuasa berkenaan perlu proaktif dalam mendaftarkan tanah-tanah wakaf agar tidak lagi berlaku salah laku serta salah urus sedemikian.