Nasional

Covid-19: Perlis pantau seluruh negeri elakkan penularan

Sekalipun negeri Perlis dijangka diumumkan oleh kerajaan layak beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi hasil daripada liputan vaksin yang telah mencapai 40.1% pada jam 11.59 malam 28 Julai 2021 baru-baru ini, namun, pemantauan yang ketat di segenap peringkat di negeri ini masih diperlukan pada fasa baru ini nanti untuk memastikan penularan jangkitan benar-benar dapat dikawal.

Pada masa yang sama, adalah dinasihatkan supaya walaupun pergerakan tanpa had radius dalam negeri Perlis secara rasminya dibenarkan kelak, hanya pergerakan berkeperluan sahaja dilakukan dan jika tiada keperluan, teruskanlah kekal di rumah terutamanya bagi golongan berisiko seperti warga emas dan juga yang mempunyai penyakit kronik.

Sesungguhnya setiap pergerakan terutamanya ke tempat tumpuan awam mempunyai risiko mendapat jangkitan.

Demikian titah nasihat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan bantuan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Alias Ahmad, 70 tahun yang tinggal bersama ahli keluarganya seramai empat orang di Kg Padang Lati, Perlis.

Ibrahim mengidap penyakit darah tinggi
dan merupakan penerima ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’ dan juga ‘Bantuan Fitrah MAIPs’.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Hadkanlah pergerakan ke luar negeri Perlis. Jika perlu juga melakukan pergerakan ke luar, selepas mendapat kebenaran daripada pihak PDRM, amalkan pematuhan SOP sepanjang berada dalam pergerakan supaya tidak dijangkiti Covid-19 dan seterusnya membawa pulang ke Perlis’.

Bagi ahli keluarga yang berada di luar Perlis, sebaik-baiknya untuk kekal di tempat tinggal masing-masing dan tidak pulang ke negeri Perlis buat ketika ini dulu. Akan tetapi, sekiranya masih terpaksa pulang, amatlah digalakkan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum kepulangan ke Perlis. Setelah sampai, kuarantinkanlah seisi keluarga di rumah. Lebih baik lagi bagi yang berkemampuan, bila pulang inaplah di homestay berdekatan. Jika bergejala, segeralah ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan dan menjalani ujian saringan Covid-19’, tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim terus mengingatkan masyarakat di negeri ini bahawa vaksin yang diberikan mampu melindungi kita daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk. Oleh sebab itu, semua dipohon supaya jangan lupa mendaftar dan sentiasa semak tarikh temujanji masing-masing dan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk suntikan.

Untuk rekod, walaupun jumlah kes harian di Malaysia adalah tinggi, namun, negeri Perlis berjaya mengekalkan jumlah kes harian yang kecil. Perlis berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan pencapaian purata 4 kes seminggu, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) yang mencukupi dan liputan vaksin telah mencapai 40.1% beberapa hari lalu. Melihat kepada perkembangan ini, Perlis dijangka akan ke Fasa ke 3 tidak lama lagi.

Dengan peralihan ke Fasa 3 PPN, seandainya tiada perubahan kepada pengumuman asal oleh kerajaan, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial akan dibenarkan beroperasi. Rakyat akan dibenarkan bergerak tanpa had radius dalam Perlis namun pergerakan antara negeri masih tidak dibenarkan. Semua pasar dibenarkan beroperasi dengan SOP dan boleh menjamu di tempat makan tertakluk kepada had kapasiti semeja. Penerimaan tetamu juga dibenarkan dan semua sukan tanpa kontak dibenarkan dengan SOP.

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button