Ekonomi

Berjiwa kental, nilai utama untuk bergelar usahawan

SERAMAI 150 pelajar Sekolah Perniagaan dan Ekonomi serta peserta Bank Rakyat UNIpreneur dan RAKYATpreneur 2.0 menghadiri sesi interaksi bersama-sama Datuk Haji Abdul Rani Lebai Jaafar, Pengerusi Bank Rakyat dalam program Santai Aidilfitri Bersama Bank Rakyat UNIpreneur yang diadakan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi.

Program ini diadakan sebagai sesi interaksi antara Bank Rakyat bersama peserta Program Rintis Bank Rakyat UNIpreneur yang telah bermula pada bulan September 2021 dan tamat pada Februari 2022.

Program Rintis Bank Rakyat UNIpreneur ini merupakan inisiatif Jabatan Kelestarian, Bank Rakyat dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi membantu usahawan siswa untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Seramai 10 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih sebelum ini sebagai peserta projek rintis Bank Rakyat UNIpreneur yang mana diberikan suntikan dana sebanyak RM2,000 seorang serta bimbingan untuk menjalankan perniagaan.

Berikutan kejayaan program rintis Bank Rakyat UNIpreneur pada tahun 2021, Datuk Haji Abdul Rani memberi jaminan bahawa ia akan diteruskan pada tahun 2022 dengan penglibatan lebih ramai pelajar daripada setiap institusi dan akan dibuka kepada lebih banyak IPT tempatan.

Menurut Datuk Haji Abdul Rani Lebai Jaafar dalam sesi interaksi tersebut, beliau menegaskan bahawa untuk menjadi usahawan yang berjaya, pelajar perlu mempunyai jiwa yang kental dan berani dalam mendepani cabaran.

Peserta Bank Rakyat UNIpreneur, Nazatul Syahirah Mohd Fazeli berkata program ini memberikannya peluang untuk meneroka lebih luas tentang strategi keusahawanan melalui bimbingan mentor UNIpreneur serta latihan yang disediakan oleh urus setia Sekolah Perniagaan dan Ekonomi.

Turut hadir ke program ini Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Madya Dr. Bany Ariffin Amin Noordin, Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi serta wakil Bank Rakyat iaitu Norahim Buang, Pengarah Wilayah (Utara Semenanjung), Abdul Yazid Yaacob, Ketua Wilayah Selangor, Bank Rakyat. – SM

 

(Visited 381 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button