Nasional

Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia stabilkan harga barangan

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mulai 7 Disember sehingga 31 Disember ini, kementerian akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Beliau berkata, skim itu adalah sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan dan menangani kenaikan harga barang  pada masa ini di samping memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Katanya, SHMKM akan melibatkan kawalan harga ke atas item-item tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran.

“Bagi ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) diletak di bawah pemantauan skim ini.

“Lain-lain termasuklah telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) dan timun juga dipantau di bawah skim tersebut.

“Diharapkan langkah ini akan berjalan dengan lancar dan membantu menstabilkan harga barang di pasaran,”ujarnya.

Tambah beliau, pengumuman harga bagi barangan yang terlibat akan dilakukan dalam masa terdekat iaitu ayam dan telur akan dilakukan di peringkat ladang, borong dan runcit.

“Manakala bagi sayur-sayuran, harga kawalan akan ditentukan di peringkat borong dan runcit.

“Senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran,” jelasnya.

Beliau berkata, semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran akan tindakan tegas diatas kegagalan mematuhi skim ini dan juga bagi barang-barang keperluan pengguna yang lain. – SM

(Visited 465 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button