Politik

Berita palsu: Fuziah kesal jika pendakwaan bersifat politik

BEKAS Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh menyatakan perasaan kesal jika pendakwan yang dilakukan terhadap dirinya bersifat politik dan tidak seharusnya berlaku.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, beliau telah menerima satu surat notis saman daripada Mahkamah
Majistret Johor Bahru untuk hadir ke mahkamah esok pada pukul 8.00 pagi.

Menurutnya, surat notis tersebut menyatakan kehadiran beliau ke mahkamah berkenaan “Kanun Keseksaan Seksyen 505 (b): Kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam” dan Akta SKMM seksyen 249 pula menyentuh berkenaan “Capaian berkenaan data berkomputer.”

Menurut pemimpin PKR itu, beliau akan terus mempertahankan kebenaran dan hak beliau.

“Sekiranya pertuduhan ini bersifat politik ianya amat amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku.

“Saya akan terus pertahankan kebenaran dan hak saya serta pasti bahawa yang hak itu akan terserlah jua,” kata Fuziah dalam satu kenyataan.

Pemimpin PKR itu sebelum ini disiasat berhubung dakwaan menyebarkan berita palsu di Facebooknya berhubung video yang memaparkan situasi bersesak-sesak melibatkan pekerja Malaysia dari Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Bahru.

Dalam hantaran itu beliau mendakwa rakyat Malaysia berpusu-pusu pulang dari Singapura.
Namun selepas hantaran tersebut Facebook Fuziah Salleh dinyahaktifkan.
Facebook rasmi milik Ahli Parlimen Kuantan yang juga bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama ketika era pentadbiran Pakatan Harapan, Khamis lalu telah menyiarkan berita palsu berkenaan.
Tindakan semberono bukan sahaja mengundang kecaman warga maya, tetapi menyebabkan polis membuka siasatan terhadap kes berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud menjelaskan bahawa video itu sebenarnya berkenaan latihan kebakaran yang dijalankan di CIQ pada 18 Disember 2019.

Video itu telah dimuat naik di laman Facebook Fuziah, sebelum diturunkan tidak lama kemudian.

Kes itu disiasat bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu berkenaan fitnah dan mendatangkan khianat awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.-SM

 

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button