BeritaPolitik

Berilah peluang Prabakaran jadi YB Batu sampai habis penggal

TIDAK pernah dalam sejarah negara ini seingat saya pertubuhan bukan kerajaan mengusulkan supaya wakil rakyat mengosongkan kerusi bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Tetapi Malaysia Baharu, macam-macam boleh jadi. Empat belas pertubuhan bukan kerajaan mencadangkan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran supaya mengosongkan kerusi yang dimenanginya.

Tujuannya jelas untuk memberi laluan kepada Tian Chua bertanding dan kembali ke gelanggang politik sebagai ahli parlimen.

Bagi yang tidak tahu siapa Parbakaran kerana wajahnya tidak pernah disorot di Parlimen, beliau merupakan calon bidan terjun menggantikan Tian Chua pada pilihan raya lalu setelah Naib Presiden PKR itu tidak layak bertanding.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, memutuskan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya.

Oleh itu gabungan NGO itu berpendapat adalah wajar hak Tian Chua dan PKR dikembalikan. Bagi mereka kemenangan besar Prabakaran sebagai calon Bebas adalah kerana kempen dan gerak kerja jentera Pakatan Harapan (PH).

Dalam kata mudah YB termuda itu perlu meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil selepas Tanjung Piai.

Jika ini berlaku meriahlah negara kita kerana pilihan raya berlangsung sepanjang tahun. Positifnya setiap kali pilihan raya kecil rakyat akan digula-gulakan dengan pelbagai cara termasuk pelbagai bantuan dan janji pembangunan.

Buruknya apabila kepentingan politik mengatasi segala-galanya. 

Keburukannya jika asyik berpolitik, bila masa pula masalah negara dan rakyat hendak diberi perhatian serta tumpuan.

Jika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, ramai yang mendesak supaya diberi peluang sehingga habis penggal memegang jawatannya untuk memperbaiki negara ini sebelum menyerahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa salahnya Parbakaran juga diberi peluang untuk menamatkan khidmatnya sehingga cukup habis penggal.

Bukanlah satu perkara yang sangat mendesak Tian Chua untuk menjadi ahli parlimen, bukan seperti Langkah PD bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri dan Langkah Kajang bagi membolehkan Datuk Seri Azmin Ali menjadi Menteri Besar dan sekarang beliau menjadi menteri Kabinet Persekutuan.

Jika hanya mahu Tian Chua menjadi menteri, beliau boleh dilantik sebagai senator sahaja kerana membalas jasa dan pengorbanan beliau ketika partinya menjadi pembangkang.

Tiga tahun lagi beliau boleh bertanding sebagai calon di kawasan berkenaan dan jika Prabakaran berasa mahu menentang Tian Chua dia boleh bertanding sebagai calon Bebas sekali lagi.

Satu aspek lagi janganlah dibazirkan duit rakyat dengan mengadakan pilihan raya kecil tanpa keperluan yang mendesak. Hormatilah sama perasaan rakyat yang tertekan dengan keadaan ekonomi negara yang tidak baik pada masa ini.

Bayangkan jika PRK diadakan di Batu, dua atau tiga tahun lagi akan ada pilihan raya umum, tidakkah ia satu pembaziran.

Lebih baik kerajaan hari ini berusaha menunaikan janji-janji pada pilihan raya lalu dan pada masa yang sama memperbaiki keadaan ekonomi negara yang mencerut rakyat.

Oh empat belas NGO mengusulkan cadangan berkenaan ialah Pertubuhan Sinar Muafakat, Pertubuhan Tunas Muafakat, Persatuan Bomba Sukarela Cawangan Batu, Pergerakan Pemuda Malaysia Cawangan Batu, Persatuan Permuafakatan Kebajikan Batu dan Persatuan Penganut Tokong Kim Yin, Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya, Persatuan Orang Kurang Upaya Sentul, Persatuan Penduduk PPR Taman Beringin, Kelab Belia Sri Perak, Persatuan Anak Melayu Sentul, Kelab Ukhwah Insaniah Sentul, Persatuan Belia Melayu Bersatu dan Kelab Ukhwah Insaniah Sentul.

Jika pandangan mereka lebih penting daripada kepentingan rakyat keseluruhan terpulanglah. 

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button