Sukan

Beri tumpuan kepada acara ‘lubuk emas’

BERI tumpuan kepada acara ‘lubuk emas’. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu membuat perancangan terbaik dengan menilai sukan-sukan yang berpotensi menyumbang lebih banyak pingat kepada kontinjen Malaysia dalam mana-mana temasya yang disertai pada masa hadapan.

Ahli Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Hishamudin Yahaya berkata, langkah itu diyakini dapat membantu kontinjen negara dalam soal kutipan pingat.

Datuk Mohd Hishamudin Yahaya

“Untuk tujuan tersebut antara pendekatan yang perlu dilakukan termasuk menambah peruntukan kewangan, menghantar atlet berpotensi untuk berlatih di luar negara selain daripada merangka program latihan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tumpuan kepada acara ‘lubuk emas’ seperti olahraga dan renang bukan bermakna agensi yang bertanggungjawab meningkatkan mutu sukan tersebut perlu meminggirkan sukan-sukan lain yang turut berpotensi menyumbang pingat emas buat negara.

Selain itu, katanya, persatuan sukan di negara ini perlu memberikan maklumat yang tepat kepada KBS, MSN dan juga Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Ini bagi mengelakkan sasaran yang diletakkan dalam mana-mana kejohanan lebih bersifat ‘syok sendiri’ dan gagal direalisasikan oleh atlet,” ujar beliau.

Tambah beliau, ketiadaan maklumat tepat berisiko menyebabkan sasaran yang ditetapkan buat kontinjen negara gagal direalisasikan seperti mana yang berlaku di Sukan SEA Kemboja 2023 apabila Malaysia membawa pulang 34 pingat emas berbanding 40 emas yang disasarkan.

Hannah Yeoh

Pada pandangan beliau, kegagalan di Sukan SEA Kemboja 2023 juga tidak wajar diletakkan di atas bahu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abdul Halim sepenuhnya, sebaliknya semua pihak perlu mengambil tanggungjawab itu termasuk pemimpin persatuan sukan.

Beliau berkata, sasaran yang diletakkan persatuan sukan juga perlu realistik dengan kemampuan atlet masing-masing dan bukan hanya ‘gah’ dengan sasaran namun bergelut untuk menunaikan apa yang ditetapkan apabila memasuki kejohanan seterusnya menjejaskan imej negara.

Beliau juga berkata, berdasarkan pencapaian atlet negara di Sukan SEA Kemboja, Malaysia tidak gagal sepenuhnya biarpun gagal menepati sasaran kerana atlet-atlet muda yang dihantar berjaya melakar kejutan dan menempa kejayaan termasuk memecahkan rekod kebangsaan.

“Pendedahan kepada barisan atlet muda dan kejayaan yang dicapai mereka juga merupakan petanda positif untuk pencapain sukan negara selain akan menjadi persiapan terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand dan juga Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2027,” katanya.

Untuk rekod, pada temasya Sukan SEA Kemboja, Malaysia menampilkan 387 orang atau 56.33 peratus atlet berusia bawah umur 23 tahun dalam pelbagai jenis sukan.

Daripada jumlah tersebut, 65 peratus atlet membuat penampilan pertama di Sukan SEA sekali gus membuktikan kita sebenarnya berani memberi peluang kepada atlet muda yang bakal menjadi aset sukan negara pada masa hadapan. – SM

BACA Sukan SEA: Malaysia tewaskan Singapura 3-0 untuk emas hoki lelaki

BACA 10 pembaharuan KBS dalam masa 5 bulan

(Visited 50 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button