Hiburan

Beri ruang buat keluarga Pitt Hanif

KUALA LUMPUR – Sejak tengah hari semalam, keluarga besar dalam industri hiburan tanah air dikejutkan dengan perkhabaran musibah yang menimpa Sutradara Pitt Hanif.

Kejadian yang tidak diduga yang menimpa diri Pitt, 40, anak kepada figura tanah air Fauziah Nawi yang hilang ketika memancing di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang bersama seorang rakan, menghimpun doa yang berterusan daripada para sahabat agar Pitt ditemui segera.

Isteri Pitt, Farah Ahmad bersama tiga puteri comel pasangan ini turut berdoa dan berharap agar insan yang disayangi ini kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Kira-kira dua jam yang lalu, Farah membuat hantaran di akaun Facebooknya dengan ayat berbaur harapan.

Catat Farah, “Salam Subuh. Alhamdulillah terima kasih alam kerana cuaca yang baik. Semoga Allah mendengar doa-doa yang dipanjatkan buat suamiku Pitt Hanif…”

Pasukan mencari dan menyelamat yang digerakkan oleh pasukan anggota bomba daerah di mana lokasi kejadian berlaku di Sungai Mela dengan bantuan penduduk kampung sekitar, bermula sejak semalam.

Pagi ini pastinya gerakan mencari dan menyelamat diteruskan dengan iringan doa.

Dalam keadaan dan situasi begini, apa yang diperlukan selain daripada doa dan aura positif buat Fauziah dan menantunya, Farah ialah ruang.

Selagi belum ada perkhabaran, bagilah ruang kepada kedua-dua insan seni ini untuk menghela nafas dalam ketenangan meskipun dalam dada, debaran kuat menggoncang jantung.

Malam tadi, sebagai tanda kasih kepada Fauziah Nawi dan Farah, aktres Fauziah Datuk Ahmad Daud menganjurkan bacaan yassin buat Pitt.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada perkembangan terkini berhubung misi mencari dan menyelamat Pitt atau nama sebenarnya, Mohd. Firdaus Mohamad Hanif.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam selepas Pitt selesai tugasannya sebagai pengarah penggambaran filem berjudul Coast Guard.

Pitt bersama seorang kru penggambaran, pengarah seni dan fotografi (DOP), memancing di sungai berkenaan.

Malangnya bot jenis fibre yang dinaiki mereka dikatakan terbalik dan terputus dua menyebabkan kedua-duanya terjatuh ke dalam sungai.

Jurukamera berkenaan berjaya menyelamatkan diri manakala usaha mencari dan menyelamat Pitt masih diteruskan.

Moga Allah permudahkan segala urusan pencarian Pitt Hanif.

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button