fbpx
PRK

Beri peluang parti tempatan Sabah bangunkan Kimanis – Karim

PENDUDUK perlu memberi peluang kepada anak jati Kimanis daripada parti tempatan Sabah untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Jan ini, ke arah pembangunan lebih mampan di kawasan berkenaan.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang berkata kawasan parlimen itu sudah lama dipimpin oleh wakil rakyat serta parti dari luar iaitu Barisan Nasional, namun keadaan pembangunan di tempat tersebut masih tidak berubah.

“Sudah lama parlimen ini dipegang orang luar yang datang bermusim, datang dengan topi koboinya, datang dengan cerut besarnya.

“Kadang kala kalau datang pun, penduduk tidak tahu di mana dia ‘runduk’ (hinggap) atau singgah sehingga sukar untuk rakyat bertemu dan memohon bantuan,” katanya yang berasal dari Bongawan, ketika berucap pada program bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gadong, di sini hari ini

Parlimen Kimanis sebelum ini diwakili selama tiga penggal oleh bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman daripada BN yang kemudian bertindak keluar daripada parti itu pada hujung tahun lalu.


Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony yang turut hadir pada majlis tersebut berkata momentum parti selepas 10 hari berkempen adalah positif dan rata-rata penduduk di kawasan parlimen Kimanis menerima baik calon diketengahkan parti, selain bersedia memberi sokongan kepada beliau.

“Pengundi Kadazandusun Murut (KDM) yang ditemui juga menyatakan sokongan penuh kepada Warisan, kepada calon kita. Jadi saya percaya dalam masa dua tiga hari (berkempen) ini akan bertambah sokongan daripada masyarakat KDM kepada parti,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon BN Datuk Mohamad Alamin. Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan hari pengundian awal, esok. — BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button