Bencana alamNasional

Turun tapi jangan ganggu tugas menyelamat, PM beritahu menteri

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan menteri yang turun ke lokasi kejadian tanah runtuh di Genting Highlands tidak mengganggu tugas menyelamat pihak berkuasa.

“Saya telah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming), Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Nik Nazmi Nik Ahmad) serta Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) terkait misi mencari dan menyelamat.

“Saya juga dimaklumkan menteri-menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini. Namun, saya menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang akan ke lokasi kejadian malam ini turut mengarahkan misi mencari dan menyelamat dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.

“Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini,” katanya.

Setakat pagi tadi, seramai 92 mangsa ditemui. Lapan mangsa termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia, tujuh cedera dan 53 lagi selamat.

Sementara itu, Bomba Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, usaha mencari dan menyelamat mangsa di lokasi Father’s Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali kini giat diteruskan.

“Ketinggian runtuhan dianggarkan 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan tiga ekar,” menurut Facebook Bomba Selangor.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.24 pagi dan tiba di lokasi setengah jam kemudian.

Operasi turut dibantu oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang, Andalas.

Anggota Pasukan Khas Taktikal, Operasi dan Penyelamat (STORM) dan Unit K9 juga berada di lokasi. – FMT – SM

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button