HaiwanNasionalNegeri

Berhenti tular video biawak atau buaya

NAMPAK macam biawak kalau sekali pandang tetapi disangka pula haiwan itu ialah seekor buaya. Yang mana satu?

Dalam keghairahan dan seronok benar orang sekarang viral atau tularkan sesuatu berita itu sehingga mereka tidak sedar bahan yang telah disebarkan itu sebenarnya berita palsu.

Tidak cukup dengan itu, kemunculan seekor buaya ini telah dikaitkan dengan kes kehilangan seorang budak.

Akibatnya pihak polis terpaksa tampil memberi penjelasan sebenar supaya perbuatan berkongsi video ini tidak berlanjutan.

BAEYAH ABDUL WAHAB

Timbalan Ketua Polis Kangar, Superitendan Baeyah Abdul Wahab berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan dengan satu video tular yang dimuat naik dalam media sosial.

Video itu memaparkan seekor haiwan yang kelihatan seperti buaya sedang bergerak di dalam terusan kecil (parit) di Kampung Belakang Kilang, Kuala Perlis, Kangar berhampiran sebuah restoran ikan bakar.

“Kejadian yang dikatakan berlaku pada pukul 12 tengah hari semalam ini juga mengaitkan dengan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang diseret masuk ke terusan kecil ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baeyah berkata, hasil siasatan dan semakan terhadap video berkenaan yang berdurasi 32 saat mendapati, haiwan yang dikatakan atau disangkakan seekor buaya itu adalah biawak.

Beliau berkata, mengenai kes budak yang dilaporkan dibaham buaya, sehingga kini polis belum menerima sebarang laporan mengenai kehilangan budak berkenaan ataupun dibaham buaya seperti yang ditularkan.

Katanya lagi, pihak polis juga sedang giat membuat semakan dengan pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis dan setakat ini mengesahkan, tiada menerima sebarang laporan seperti mana yang diperkatakan.

Tambah beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Belakang Kilang juga menafikan kejadian tersebut.

Baeyah jugq menasihatkan orang ramai supaya berhenti menularkan video itu.

“Jangan terpengaruh dengan berita palsu dan menyebarkannya kerana perbuatan ini boleh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dqn Multimedia (AKM) 1998,” tegas beliau.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan boleh didenda atau penjara tidak melebihi dua tahun  atau kedua-duanya sekali.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta AKM 1998 pula membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.  – SM

(Visited 566 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button