Nasional

Pendakwa akan buktikan Rosmah terima RM6.5 juta bagi projek tenaga solar

PENDAKWAAN dalam kes rasuah Datin Sri Rosmah Mansor akan membuktikan isteri bekas perdana menteri itu menggunakan pengaruhnya untuk menerima wang tunai RM6.5 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kontrak bagi projek hibrid solar, demikan Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pendakwa utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata wang tunai RM5 juta dihantar ke kediaman rasmi tertuduh di Putrajaya dan wang tunai RM1.5 juta lagi dihantar ke kediamannya di Langgak Duta, di sini.

Beliau berkata bayaran itu bergantung kepada beliau menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan kontrak pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah bandar bagi Jepak Holdings Sdn Bhd.

“ Bukti akan menunjukkan peranan aktif yang dimainkan oleh tertuduh untuk mendapatkan projek bagi Jepak. Sebagai balasan dia meminta dan menerima rasuah,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Menjelaskan kes tersebut, Sri Ram berkata Jepak Holdings adalah sebuah syarikat berhad swasta yang ada kaitan dengan pertuduhan dan Saidi Abang Samsudin merupakan pengarah urusan dan pemegang saham majoriti syarikat berkenaan.

Kontrak

Beliau berkata Saidi mahu mendapatkan kontrak daripada kerajaan persekutuan bagi syarikatnya untuk melaksanakan projek hibrid solar yang kononya memanfaatkan 369 sekolah luar bandar di kawasan pedalaman Sarawak.

“Saidi bersama rakannya Rayyan Radzwill Abdullah memohon kontrak daripada Kementerian Pendidikan. Mereka berjumpa dengan Menteri Pendidikan, ketika itu, Datuk Seri  Mahdzir Khalid dan satu pertemuan diadakan antara mereka.

“ Ia tidak berhasil untuk Saidi dan tidak tahu nak ke mana. Saidi dan Rayyan kemudian bertemu dengan seorang bernama Aazmey Abu Talib yang mereka anggap rapat dengan suami tertuduh (Datuk Seri Najib Tun Razak) bagi mendapatkan sokongan untuk permohonan kontrak tersebut,”  katanya.

Pendakwa Raya kanan itu berkata dengan bantuan Aazmey, Saidi berjaya mendapatkan tanda sokongan suami tertuduh dalam surat permohonannya tetapi ia tidak membantu mempercepatkan urusan dengan Kementerian Pendidikan.

Projek

Beliau berkata Saidi dan Rayyan bertekad untuk mendapatkan projek tersebut untuk Jepak.

“Selepas semua platform untuk berjaya gagal menghasilkan keputusan positif, maka mereka beralih kepada tertuduh yang dapat dihubungi menerusi bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.

“Rizal mengatur pertemuan antara Saidi, Rayyan dan tertuduh. Pertemuan itu berlangsung antara Januari dan April 2016. Ia diadakan secara sulit di kediaman peribadi tertuduh di Jalan Langgak Duta di sini,”  katanya.

Beliau berkata Saidi mahu jaminan daripada tertuduh bahawa dia akan membantu Jepak dan sebagai balasan, Saidi bersedia menawarkan sejumlah wang yang besar kepada tertuduh.

Katanya, menurut Saidi, pada mesyuarat pada 2016 itu, tertuduh ditunjukkan permohonan Jepak dengan tanda sokongan suami tertuduh pada permohonan tersebut.

“ Saidi kemudian membuat tawaran derma politik kepada suami tertuduh sebagai tanda terima kasih kerana menyokong permohonan itu.

“Adalah penting untuk diperhatikan bahawa tertuduh tidak mempunyai kedudukan atau memegang sebarang tanggungjawab dalam mana-mana parti politik pada masa itu Tertuduh tahu bahawa apa yang dipanggil sumbangan politik dimaksudkan sebagai rasuah untuk dirinya,” kata Sri Ram.

Sumbangan

Pendakwa Raya itu berkata selepas pertemuan itu, tertuduh meningkatkan jumlah sumbangan politik kepada RM187.5 juta iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak berjumlah RM1.25 bilion dan dia menggunakan Rizal untuk membuat tuntutan dan berunding mengenai jumlah rasuah yang perlu dibayar kepadanya.

“ Pada mulanya, dia mahukan 17 peratus daripada nilai projek iaitu melebihi RM200 juta. Atas nasihat Rizal, dia bersetuju menerima 15 peratus. Perjanjian palsu digubal oleh seorang bernama Lawrence Tee.

“ Tujuan perjanjian itu adalah untuk menyorok bayaran dan menyembunyikan nama penerima sebenar wang tersebut. Perjanjian itu telah hilang dan tiada siapa yang pasti siapa menyimpan perjanjian itu.

“ Lawrence akan memberi keterangan mengenai kandungannya,”  katanya.

Sri Ram berkata selepas perjanjian itu dilaksanakan, pada 20 Dis 2016, Saidi memberikan tertuduh RM5 juta dalam bentuk tunai dan bayaran tersebut dibuat selepas Kementerian Pendidiklan mengeluarkan surat penganugerahan tender projek itu kepada Jepak.

‘Wang tersebut dihantar ke kediaman rasmi tertuduh di Putraya dan diterima olehnya selepas mengesahkan dengan Rizal bahawa jumlah itu sebenarnya RM5 juta.

Sri Ram berkata kontrak projek solar itu dikuatkuasakan pada 20 Jun 2017 dan Kementerian Pendidikan kemudian mengeluarkan siri pembayaran kepada Jepak dan pada September 2017, Saidi mnyerahkan wang tunai RM1.5 juta kepada tertuduh di kediamannya di Langgak Duta.

“ Seperti kebanyakan jika tidak semua kes rasuah, pihak pendakwa perlu bergantung kepada keterangan saksi-saksi yang berkepentingan. Pada peringkat yang sesuai, pihak pendakwaan akan meminta mahkamah untuk memperhalusi keterangan saksi secara berhati-hati,”  katanya.

Jenayah

Pada akhirnya, keterangan mereka akan didapati boleh dipercayai dan disahkan dalam bentuk butiran material dan pihak pendakwaan dapat membuktikan bukan sahaja jenayah telah dilakukan tetapi ia adalah tertuduh yang melakukannya, katanya.

“Akhirnya, mahkamah akan mendengar keterangan saksi yang mungkin berat sebelah dengan tertuduh. Mengenai fakta kes, ini tidak dapat dielakkan. Pihak pendakwaan akan memaklumkan kepada mahkamah cara keterangan saksi diambil kira apabila kami membuat hujahan,”  katanmya.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Mac dan 7 Sept, 2018. – BERNAMA

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button