Nasionalpilihan

Azman Aziz dilantik sebagai Presiden ISSA yang ke-17

MALAYSIA menerima pengiktirafan antarabangsa dalam aspek perlindungan keselamatan sosial di Persidangan Agung International Social Security Association (ISSA) semasa Forum Keselamatan Sosial Dunia (World Social Security Forum, WSSF) 2022 yang diadakan di Maghribi pada 23 – 28 Oktober 2022.

Persidangan ini dihadiri oleh 321 ahli daripada 161 buah negara yang menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal keselamatan sosial. Dalam persidangan tersebut, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO telah dipilih sebagai Presiden ISSA yang ke-17 untuk menerajui ISSA bagi tempoh 3 tahun bermula tahun 2023 sehingga 2025. Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan tertinggi tersebut dalam badan antarabangsa yang menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global.

“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli badan antarabangsa ISSA kepada saya untuk jawatan Presiden yang ke-17. Bagi saya, pemilihan ini adalah kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, dan semua warga PERKESO kerana ia melonjakkan lagi kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa,” ulas Azman mengenai pemilihan tersebut.

“Menerusi ISSA, saya akan terus memberikan komitmen yang terbaik untuk meningkatkan sistem perlindungan keselamatan sosial agar setiap ahli ISSA melaksanakan perlindungan yang komprehensif dan inklusif di negara masing-masing demi kesejahteraan sejagat,” tambah beliau.

ISSA, yang telah ditubuhkan pada 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland merupakan pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial yang bernaung di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

ISSA berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi serta inovasi dalam bidang keselamatan sosial. Penganjuran persidangan kemuncak WSSF yang diadakan pada setiap tiga tahun adalah antara inisiatif ISSA, yang mengumpulkan para menteri, pegawai kanan, pengamal dan pakar dalam bidang keselamatan sosial dari negara-negara ahli untuk membahaskan isu semasa serta berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik mengenai keselamatan sosial.

Sebelum pemilihan ini, Azman Aziz pernah menerima pengiktirafan antarabangsa iaitu Frances Perkins Award 2020 yang dianugerahkan oleh International Association of Industrial Accident Boards and Commissions (IAIABC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mana beliau merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah organisasi tersebut dan orang Asia pertama menerima anugerah tersebut.

Selain itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Presiden Asean Workers Compensation Association (AWCA), Ahli Lembaga Pengarah Asean Social Security Association (ASSA) dan Ahli Majlis Vision Zero Global Alliance.

Malaysia juga turut mencatatkan pengiktirafan berganda dalam persidangan tersebut apabila Kuala Lumpur telah diterima sebagai tuan rumah bagi Persidangan Agung ISSA serta WSSF ke- 7 yang akan diadakan pada tahun 2025.

Susulan itu, PERKESO telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan ISSA sebagai tuan rumah persidangan dan forum yang dijangka menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal dan pakar keselamatan sosial daripada 161 buah negara.

Persidangan Agung ISSA dan WSSF 2022 pada kali ini dianjurkan oleh agensi keselamatan sosial Maghribi, CDG Prévoyance yang bertemakan ‘Social security for resilient and inclusive societies’. Dalam persidangan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman telah berkongsi pengalaman dalam sesi plenari “Social security management in the human-digital age” yang menggabungkan elemen digital serta kemahiran manusia menerusi Program Social Synergy dan Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs di Malaysia.

Beberapa pegawai kanan daripada PERKESO dan KWSP telah menyampaikan penemuan hasil penyelidikan dan inovasi masing-masing yang telah memberikan manfaat kepada kumpulan sasar serta pemegang taruh. Pusat Rehabilitasi PERKESO juga dijemput untuk membuat

demonstrasi rehabilitasi robotik yang canggih di persidangan tersebut untuk berkongsi kemajuan dan dinamisme perlindungan keselamatan sosial Malaysia.

Dengan mandat pemilihan sebagai Presiden ISSA untuk tempoh 2022-2025 dan pilihan Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan Agung ISSA ke 35 dan WSSF 2025, adalah diharapkan agar agenda keselamatan sosial di Malaysia akan terus diperkukuh dan dikembangkan lagi demi kesejahteraan golongan sasar serta peningkatan tahap profesionalisme para pengamal keselamatan sosial di negara ini. – SM

Artikel berkaitan > Bajet 2023: Perkeso ambil insentif tawar 70,000 pekerjaan

(Visited 484 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button