Rencah Hidup

Ibu 7 anak pinjam beras segenggam daripada jiran tetangga

220 keluarga miskin, asnaf Kampung Bakkau terima bantuan Bakul Kasih Ramadhan

HATI bagai dirobek-robek apabila melihat anak-anak daripada 220 keluarga miskin dan asnaf yang tinggal di dalam hutan bakau di Sandakan menerima bantuan baru-baru ini.

Sukarelawan Yayasan Ikhlas Malaysia yang terbabit dalam Misi Bantuan Bakul Kasih Ramadhan menangis melihat kedaifan hidup mereka yang jauh lebih susah jika dibandingkan dengan kehidupan yang kita lalui hari ini.

https://www.facebook.com/projekborneoyi/videos/625238214872583/

Penghantaran Misi Bantuan Bakul Kasih Ramadhan di Kampung Bakkau, Sandakan pada 3 Mei lalu dilakukan menerusi jalan air. Ini bermakna, para sukarelawan terpaksa menaiki bot atau sampan untuk sampai ke destinasi yang dituju.

Kedatangan para sukarelawan yang membawa bekalan makanan seperti beras, telur, susu tepung (sekadar menyebut beberapa barangan keperluan asas) disambut dengan wajah ceria oleh kanak-kanak daripada keluarga miskin dan asnaf berkenaan.

Kanak-kanak ini memaut erat sekampit beras, memeluk rapat susu tepung yang diserahkan ke tangan cilik mereka ini.

Kedaifan hidup mereka dapat dilihat melalui rakaman video yang mana rumah mereka dibina di dalam bakau tanpa adanya infrastruktur asas seperti jambatan.

Rumah di Kampung Bakkau sangat buruk dan menyedihkan, lebih buruk dari rumah-rumah setinggan. Sekurang-kurangnya rumah setinggan, ada juga bekalan air dan elektrik.

Bahkan untuk bekalan air minum juga tiada. Mana ada bekalan air bersih disalurkan ke kawasan daif seperti Kampung Bakkau. Apatah lagi bekalan elektrik. Mungkin anak-anak keluarga ini tidak kenal apa itu suis lampu!

Secara fizikal, gambaran yang diberikan oleh Yayasan Ikhlas menggambarkan, jika penduduk mahu mendapatkan air bersih, mereka perlu menaiki bot dan membeli tong air bersih di pekan.

Jika ada rumah di situ yang mempunyai bekalan elektrik, wayar-wayarnya pula berselirat. Ini berbahaya kerana boleh berlaku litar pintas pada bila-bila masa.

Memetik catatan daripada Facebook Yayasan Ikhlas Malaysia, ada seorang ibu beranak tujuh. Anak-anaknya masih kecil.

Ibu itu memberitahu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak mendapat sebarang bentuk bantuan. Kiranya apa yang dihulurkan oleh Yayasan, itulah bantuan pertama yang diperoleh.

Lebih menyedihkan, kata ibu beranak lapan ini, suaminya hilang entah ke mana. Setiap hari, dia terpaksa menagih simpati jiran tetangga, meminta segenggam beras untuk dimasak bagi mengisi perut anak-anaknya.

Katanya kepada anggota sukarelawan Yayasan, jika  sebelum ini ada bantuan yang dihulurkan, bantuan itu disampaikan kepada penerima yang kedudukan rumah di hadapan, tetapi tidak jauh ke dalam paya bakau seperti rumahnya.

Penduduk di Kampung Bakkau tidak dibenarkan keluar dari kampung dan mereka bergantung kepada makanan yang ada.

Mata pencarian atau sumber pendapatan penduduk di situ katanya, kebanyakan bekerja sebagai buruh, menjual sayur-sayuran dan dua mata pencarian itu terpaksa dihentikan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Secara total, terdapat 500 buah rumah di Kampung Bakkau tetapi pihak Yayasan hanya mampu menyampaikan bantuan kepada 220 keluarga sahaja.

Entah apakah perasaan di dalam hati para sukarelawan Yayasan kerana Misi Bantuan Bakul Kasih Ramadhan tidak dapat membantu kesemua 500 keluarga di situ. – SM

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button