Nasional

Ingkar PKP: Nurulhidayah Zahid, suami akan didakwa

DATUK Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff dijangka didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat berhubung dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata pendakwaan terhadap kedua-dua individu itu selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Kedua-dua mereka diambil keterangan pada 24 April lepas. Kertas siasatan dirujuk ke pejabat Peguam Negara dan telah mendapat arahan untuk menuduh di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebelum ini, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran terhadap Nurulhidayah dan suaminya itu.

Huzir turut menasihati orang ramai supaya tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah polis tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan pelanggaran PKP.

Tegasnya, tiada individu yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya didapati sengaja melanggar undang-undang negara.

Nurulhidayah, 41, dipanggil untuk siasatan selepas memuat naik beberapa gambarnya bersama suami melawat dua orang kenamaan di laman Instagramnya ketika kerajaan melaksanakan PKP bagi mencegah pandemik COVID-19.

Gambar itu dimuat naik dengan keterangan: “Selepas Selesai dengan YB Menteri Hal Ehwal Agama, kami ke Kementerian Alam Sekitar untuk berjumpa YB Datuk (Ahmad) Masrizal (Muhammad), Timbalan Menteri bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan YB Datuk Dr Masrizal sejak dahulu menjadi Setiausaha Politik kepada abah @AhmadZahidHamidi tidak berapa lama dahulu. A dear friend to our family.”
Huzir, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 3) 2020.
Ia masing-masing kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa yang berbahaya kepada nyawa dan melakukan pergerakan tanpa kebenaran.

 

Kedua-dua mereka sudah diambil keterangan pada 24 April. – BERNAMA

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button