Nasional

Beras percuma, bakul makanan khusus untuk penduduk Bandar Tun Razak

PEKA dengan kesusahan yang dialami rakyat dek kerana penularan Covid-19 membuatkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar tampil dengan cara tersendiri untuk menghulurkan bantuan.

Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak telah mengambil insiatif untuk dengan melancarkan Program Bantuan Beras Percuma 2020 yang bermula pada 7 Disember lalu.

“Saya sering turun padang dan mendengar rintihan masyarakat. Ada yang hilang pekerjaan dan pendapatan berkurangan. Banyak bantuan yang diminta.

“Sebagai wakil rakyat, saya perlu memastikan tidak ada seorang pun masyarakat khususnya dalam parlimen saya hidup dalam keadaan daif dan tanpa bekalan makanan. Saya akan cuba bantu sedaya upaya saya,” katanya.

Menerusi program tersebut, setiap penduduk Bandar Tun Razak layak mengambil satu beg beras untuk satu keluarga di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Jelasnya, penduduk  hanya perlu membawa kad pengenalan yang membuktikan mereka adalah penduduk Bandar Tun Razak, mereka akan menerima sekampit beras.

Selain itu, Kamarudin juga tampil dengan inisiatif memberikan sumbangan Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, telur, tepung, gula, minyak masak dan biskut sebanyak 7000 set.

“Sumbangan ini bukanlah pertama kali dilaksanakan tetapi merupakan inisiatif kali ketiga sejak wabak Covid-19 ini menular kembali sebagaimana yang disebutkan banyak pihak sebagai gelombang ketiga.

“Ketika gelombang pertama dan kedua dahulu, sumbangan bakul makanan sebegini turut diedarkan dan dianggarkan sebanyak 8,000 set bakul makanan telah diedarkan,” katanya.

Ujarnya, golongan yang diberikan barangan keperluan asas ini ialah pemandu teksi, golongan B40 dan penduduk yang tinggal di perumahan rakyat dan perumahan awam.

Jelasnya, kedua-dua program tersebut mendapat respon yang baik daripada penduduk dan ramai yang inginkan bantuan sebegitu diteruskan lagi tahun hadapan.

“Dalam masa terdekat, InsyaAllah saya akan menganjurkan program isian minyak petrol percuma dan tukar minyak enjin percuma pula kepada penunggang motosikal.

“Semoga usaha ini dapat membantu rakyat ketika menghadapi waktu yang mencabar ini,” jelasnya. -SM

(Visited 636 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button