Nasional

“Berani kerana benar” aset Muhyiddin lasak dalam politik

KOMENTAR

SESUATU yang barangkali orang politik mengenali fi’il Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini adalah beliau tidak gemarkan `pembodek’.

Semasa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berada dalam UMNO selaku Timbalan Presiden, beliau pernah memberi amaran dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014, kemungkinan UMNO akan kalah pilihan raya umum.

“Graf kedudukan kita (BN dan UMNO) sekarang menunjukkan penurunan, kalau situasi tidak bertambah baik, hanya dengan dua peratus penurunan undi kita dalam keadaan bahaya.

“BN pasti akan kalah, kita dalam keadaan amat bahaya,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan dalam perhimpunan tersebut.

Empat tahun kemudian, 9 Mei 2018, BN yang ditunjangi UMNO tumbang selepas berkuasa lebih 60 tahun.

Semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Johor setahun kemudian (2015), Muhyiddin mengingatkan pemimpin, mereka perlu lebih bertanggungjawab dan mengambil kira pandangan orang-orang di sekeliling walaupun terdapat pendapat yang bercanggah.

Pemimpin yang hanya mendengar pujian-pujian dan menolak teguran, tegas beliau, adalah disebabkan mereka “dilindungi hijab” manusia yang tidak ikhlas.

“Yang ini jadi masalah bila kita jadi pemimpin, kadang-kadang kita dikelilingi penyokong kita yang beritahu, ‘its ok sir, things are so good’, ‘don’t worry sir, everything is ok sir, yes sir.

“Kita tidak nampak apa-apa tapi rasa bangga diri,” katanya.

Mengkritik dan menegur kesalahan kepemimpinan parti menjadi aset kepada parti politik.

Sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada masa dahulu suka membangkang turut menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin boleh mengikut jejak Dr Mahathir – yang dalam konteks kebangkangan itu menjadi aset kepada
partinya dan gabungan parti yang membentuk kerajaan baharu.

Dilahirkan pada 15 Mei 1947, Muhyiddin, 72, bekas Timbalan Perdana Menteri pernah menyandang jawatan Menteri Besar Johor, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berasal dari Muar, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail serta Sekolah Tinggi Muar di Muar. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu (1971).
Keluarga

Hasil perkongsian hidup beliau bersama Datin Sri Hajjah Norainee Abd. Rahman yang dikahwini pada 1972, mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Fakhri Yassin, Nabilah, Najwa (Najwa Mahiaddin) dan Farhan Yassin.

Bapa beliau, Muhammad Yassin Muhammad adalah seorang ulama terkenal di Bandar Maharani (Muar), Johor.

Muhyiddin memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (1970) dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar (1974). Pengalaman sebagai penjawat awam digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berkecimpung dalam dunia korporat.

Antara tahun 1974 hingga tahun 1978, Muhyiddin telah memegang beberapa jawatan penting di SGS Ates Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Perjawatan, Pengarah Urusan Sri Saujana Berhad serta Pengarah Syarikat Equity Mal Sdn Bhd.

Beliau mengetuai UMNO Bahagian Pagoh iaitu jawatan yang disandang sejak April 1985 lagi.

Sebelum itu beliau dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh pada 1976. Dari situ karier politiknya terus berkembang apabila beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia (1982). Pada 1985, buat pertama kalinya, Muhyiddin dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Jawatan itu digunakan sepenuhnya untuk menabur bakti dan kemudiannya menjadi tokoh yang dipilih menduduki kerusi Naib Presiden bermula September 1993 sehingga 2008. Beliau kemudiannya diundi menjadi Timbalan Presiden UMNO dengan mengalahkan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib

Beliau pertama kalinya dipilih menjadi wakil rakyat apabila memenangi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya 1978.

Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi parlimen berkenaan pada pilihan raya umum 1982 dilantik menjadi Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Umum ketujuh apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Serampang.

Di bawah kepimpinan beliau, Johor terus berkembang pesat dan menjadi antara negeri yang termaju di Malaysia.
Beliau juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri Malaysia pada tahun 1981, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 1982 dan Menteri Belia dan Sukan selepas Pilihan Raya Umum ke-9 iaitu pada Mei 1995.

Empat tahun kemudian, beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mulai bulan Disember 1999. Pada bulan Januari 2004, beliau diberi kepercayaan mengetuai Kementerian Pertanian berikutan penstrukturan semula Kabinet Persekutuan.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-11, beliau dilantik semula menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang fungsinya ditambah bagi memajukan sektor pertanian dan industri yang berkaitan agar lebih berdaya saing.

Selain itu, Muhyiddin juga banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Royal Johor Country Club dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (1986-1995) serta Presiden Persatuan Kanak-Kanak Spastik Negeri Johor selama 10 tahun (1986-1996).

Tahniah Tan Sri Muhyiddin. Selamat mengharungi dunia politik tanah air yang kian mencabar. – SM

(Visited 410 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button