Politik

Benar, UMNO lemas di kolam yang cetek – Annuar

TAN Sri Annuar Musa menjadi pemimpin UMNO pertama bersetuju dengan pandangan Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin bahawa UMNO ketika ini sedang lemas di dalam sebuah kolam yang cetek.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ada antara pemimpin UMNO yang marah di kumpulan WhatsApp dan tidak dapat menerima pandangan yang dilontarkan oleh Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia tersebut.

“Tulisan Prof. Samsul Amri sememangnya pedih. Dalam grup Whatsapp pemimpin UMNO ada yang marah dan in denial tapi ramai juga yang berjiwa besar menerima kritikan Pengerusi Majlis Professor Negara itu.

“Saya mendapati ia benar. Saya merasakan UMNO perlu mendengar jika tidak UMNO bakal hanyut semakin jauh.

“Masih ramai yang masih dibuai mimpi lama ketika rakyat sudah jauh berubah. Masih ramai selesa dalam kepompong lama sedangkan parti lain telah merekayasa parti mereka masing masing,” kata Annuar.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, UMNO seolah-olah tidak mendapat sebarang pengajaran selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Malah parti itu menganggap sebarang teguran terhadap UMNO dan pemimpinnya dikira sebagai pembelotan dan mereka yang membuat teguran perlu disingkirkan.

“Namun saya merasakan belum terlambat untuk membangkitkan kesedaran dalam UMNO. Malah telah ada gelombang kesedaran baru yang mampu membesar. Yang diperlukan adalah keberanian serta keihlasan dalam perjuangan.

“Ya… lemas di kolam cetek kerana hilang upaya atau terlena di kolam renang bukan disebabkan tiada kepandaian berenang. Pulihkan keupayaan, bangunlah dari lena yg panjang,” gesa Annuar.

Dalam artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berita, Shamsul Amri berkata, UMNO kini umpama lemas di kolam yang cetek.

UMNO ketika ini terkapai-kapai mencari haluan selepas tewas pada PRU14 dan keseluruhan organisasi UMNO mula terungkai dari atas hingga ke bawah seperti si latah yang disergah menanggal pakaian satu demi satu.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang untuk sekian lamanya adalah jantung dan otak UMNO sekali gus tiba-tiba terencat. Oleh kerana hospital politik seperti Institut Jantung Negara (IJN) tiada, penyakit UMNO tidak dirawat, semakin hari semakin parah.

“Selepas PRU14, UMNO yang kini bersendirian mula terpecah kepada beberapa ‘kelompok strategik’ setiapnya diikat oleh kepentingan-kepentingan tertentu oleh para anggota dalam kelompok itu kerana pimpinan pusat kian di MKT tidak terpusat, malah tidak keharuan.

“Di peringkat bahagian dan cawangan UMNO, seperti retak menanti belah, keadaan perselisihan pra-PRU14 menjana pecahan dalaman yang berserpihan. Ramai yang masih menjadi ahli berdaftar tetapi telah tidak mengundi UMNO atau BN dalam PRU14,” kata Shamsul Amri.-SM

(Visited 1,458 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button