Politik

Belum tahu lagi GTA kerjasama atau tidak dengan PN

PARTI Gerakan Tanah Air (GTA) yang baharu ditubuhkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad belum membuat sebarang keputusan muktamad untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun dua pemimpin gabungan itu telah mengadakan pertemuan sebelum ini.

Pengerusi GTA, Tun Mahathir berkata, pertemuan dengan Muhyiddin sebelum ini hanyalah pertemuan biasa.

Tegas Tun Mahathir, pertemuan itu bukannya untuk memuktamadkan kerjasama politik di antara dua gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

“Dia (Muhyiddin) boleh datang berbincang tetapi apa keputusannya oleh GTA? Lainlah belum muktamad sebab mereka (PN) pun berpecah. Mereka perlu susun gerakan mereka semula,” ujar Tun Mahathir kepada pemberita.

Beliau berkata demikian hari ini selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Semangat Merdeka di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Semalam, pada sidang media usai mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau ditanya pemberita tentang perbincangan di antara PN denga pemimpin parti-parti.

Menurut Muhyiddin, sekiranya rundingan dengan pemimpin parti-parti gagal, PN  mengambil sikap terbuka dan ada strategi tertentu yang disusun untuk PRU15.

Kata Tun Mahthir lagi, “Kita di peringkat GTA tidak buat sebarang keputusan muktamad dan tak bincang lagi.”

Sementara itu, Tun Mahathir turut menyifatkan langkah Muhyiddin tidak lebih daripada untuk memastikan Presiden parti Bersatu itu menjadi perdana menteri sekali lagi.

“Mereka, PN bukan berjuang untuk agama, bangsa dan negara sebaliknya berjuang nak jadi perdana menteri.

“Boleh dapat duit banyak, dapat kuasa, boleh salah guna kuasa, itulah perjuangan mereka,” selar Tun Mahathir.

Tun Mahathir turut mendakwa Muhyiddin mengamalkan korupsi apabila bertindak menawarkan pelbagai jawatan semasa menjadi perdana menteri.

“Cara dia (Muhyiddin) mentadbir dengan memberi tempat kepada siapa sahaja yang sokong dia. Semua dapat jawatan taraf menteri. Itu korupsi,” kata Tun Mahathir.

Berhubung pendaftaran GTA, Mahathir berkata, gabungan itu akan menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 6 September ini. – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button