Belang Bertempat

Belum cukup, UMNO perlu cari 10 pemuda `kreatif, kritis’

APAKAH yang diperlukan oleh UMNO untuk menggerakkan api perjuangan dalam tempoh waktu yang masih berbaki ini – barangkali beberapa bulan lagi – sebelum didatangi pilihan raya umum ke-15?

Hakikatnya, UMNO hanya memerlukan 10 pemuda yang tidak perlu pun menjadi ahli parti. Tetapi pintar dan bijak mengintai peluang dan bijak berkomunikasi, kreatif, mahir bekerja sepasukan (kolaboratif) , kreatif dan kritis.

Ironinya, pemuda-pemuda ini boleh jadi barangkali daripada ahli Pakatan Harapan (PH) atau PAS atau Bebas.

UMNO perlu segera mengenal pasti 10 pemuda berkenaan, bersekali dengan ciri-cirinya berikut:

Pertamanya, pantas mengatur strategi perang. Semuanya perlu dilakukan dengan pantas, bertindak seperti sebuah syarikat yang mencungkil bakat kakitangan untuk segera keluar daripada kebangkrapan aset dan kemuflisan idea.

Kita semua setuju dan tiada rahsia lagi bahawa kekuatan Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari.

Kedua, 10 pemuda UMNO yang perlu dibebaskan daripada pendekatan lama yang dilihat sebagai kelemahan diri sendiri yang dahsyat.

Stigma yang memakan diri seperti duit untuk undi, laba kalau menang, pecah kawasan untuk kesinambungan atau UMNO untuk Melayu perlu difikirkan semula.

PRU-15 mengajar orang UMNO jangan mudah `pancung’ sesama sendiri. Inilah penyakit terbesar. Kenali perasaan atau keinginan lawan atau kawan dan sesuaikan dengan kehendak mereka. Setiap penentangan ada mesej yang hendah disampaikan.

Presiden perlu ambil tahu. Jangan mengiaakan sahaja maklumat yang diterima dari setiausaha agung atau yang `sewaktu dengannya’ – serta tindakannya.

Panggil, siasat dan terima, atau terima dengan pengubahsuaian. Mendapat maklumat yang salah dan bertindak tanpa perundingan , maka bencanalah natijahnya.

Ciri ketiga ialah pantas memintas dan mematahkan isu supaya tidak berlarutan. Serangan terhadap UMNO pada PRU-14 sangat dramatik dan bertali-arus. Inilah budaya baharu. Serangan tunggal kepada presiden parti telah menumbangkan keseluruhan jentera parti.

Mesej sampai. Betul atau tidak, itu perkara kedua.

Keempat, bijak menghidu isu dan kelemahan parti lawan dan membuat inventori mengikut bidang. Ia perlu disokong. Hal ini lebih mudah kerana UMNO kini tidak disibukkan dengan pentadbiran dan segala macm urusan negara. Fokus untuk menang pilihan raya akan datang.

UMNO hanya perlu mencari satu atu dua isu, di pihak sendiri atau parti lawan, mulakan pada waktu yang betul di tempat yang sesuai , biarkan ada kesan rantaian dan disambut dan disebarkan sendiri oleh khalayak. Gunakan teknologi sebaran, seperti push technology dan creative media.

Mereka ini berfikiran sebagai 10 jeneral muda yang realistik, berfikiran terbuka dan menerima kritikan, mahir menterjemahkan peluang kepada sokongan yang dapat dizahirkan di atas kertas undi.

Kelima, 10 pemuda ini perlu mahir teknologi. Teknologi inilah senjata berkempen, khususnya pada waktu-waktu kritikal menjelang pilihan raya.

Media sosial perlu dikuasai secara kreatif dan kritis, ayat, frasa, ungkapan, gambar, video, rencana akan melengkapkan justifikasi konteks dalam pemahaman kenapa mereka perlu menolak si polan dan si polan, di sana dan di sini.

Kemahiran keenam ialah kemahiran matematik, tentang nisbah pengundi berbanding pecahan kaum bersama potensinya sebagai pembelot.

UMNO kalah kerana melakukan kesalahan berulang. UMNO setia kepada kuota kaum dan semangat setiakawan antara kaum, sambil mengetepikan matematik pengundi.

Winnable candidate bukan the winning formula. Belajarlah dari PRU-14. Kerajaan PH bijak mencongak formula menumbangkan UMNO. Banyak usaha dibuat namun semuanya gagal.

Tatkala UMNO sibuk mencantas ahli, di sebelah pihak menggalakkan penyatuan dengan tawaran-tawaran yang cukup cantik.

Ketujuh, kelihatan bersih, meyakinkan dan berketrampilan.

Yang tidak kurang penting ialah 10 pemuda ini perlu dilihat bersih dan menjadi model buah hati rakyat Malaysia. Usaha ke arah ini ada, tetapi dilihat sudah terlambat, seperti video yang menggunakan pelakon terkenal. Gunakan segala platform untuk menyebarkan mesej kreatif.

Kelapan, mengambil tugas daripada senior UMNO secara bersopan dan tidak melanggar adat parti yang menunjangi budaya Melayu. Jangan berpecah lagi, sakit menyakiti dan menganggap diri lebih hebat dari orang lain atau orang sebelum ini yang pernah menjadi rakan kita.

Kesembilan, kurangkan talkshow. Orang awam akan `meluat bin menyampah’ mendengar cadangan demi cadangan, pembentangan demi pembentangan seperti tesis ijazah pertama. Lebihkan fakta dan bukti, dalam bentuk audio, video dan kinestatik.

Yang paling penting, iaitu yang ke-10, banyakkan berdoa dan bermuhasabah, bahawa kerajaan yang kekal hanyalah milik Allah SWT. Jangan sombong dan angkuh.

Jangan berputus asa kerana Allah tidak suka orang yang berputus asa. Teruskan perjuangan kerana masih ramai, malah lebih ramai orang Melayu yang mahu kegemilangan bangsa yang hebat ini dikembalikan.
Anggaplah kita sedang berjuang sekali lagi untuk mendapatkan kemedekaan total. Cuma, caranya berbeza kali ini.

Belajarlah dari 22 bulan kegagalan PH dan tempoh kesengsaraan parti itu.Carilah 10 pemuda ini.-SM

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!
Close
Close