fbpx
Nasional

Belum ada bukti terowong nyah cemar berkesan basmi Virus COVID-19

BELUM ada bukti secara klinikal terowong sanitasi berkesan untuk membasmi COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata, pihaknya di bawah Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) dan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) kini sedang melakukan kajian bagi menguji keberkesanan alat itu.

“Setakat ini tiada bukti kukuh yang mengatakan terowong sanitasi ini berkesan (untuk menyahkuman).

Kita sedang melakukan kajian, dan berharap kita akan dapat datanya nanti,” katanya di sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beberapa pihak dilaporkan memasang terowong sanitasi di premis mereka sebagai langkah pencegahan menyahkuman bagi mengekang penularan COVID-19.


Terowong sanitasi mudah alih itu menggunakan kaedah semburan cecair berkabus menggunakan bahan sanitasi kuman yang disembur ke anggota badan individu yang melaluinya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum mengesan sebarang kes positif dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dan sedang             dikuarantin di pusat kuarantin seluruh negara.

“Belum ada kes yang ada positif di hotel atau pusat kuarantin ini, tapi kita kena tunggu selama 14 hari untuk laksanakan ujian sebelum memastikannya,” katanya.

Setakat ini terdapat  12,359 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di pusat kuarantin dan hotel yang diwartakan di seluruh negara. – BERNAMA 

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button