Luar Negara

Belon Udara Terbakar, 8 Maut di Brazil!

SUASANA ceria bertukar tragedi apabila sebuah belon udara panas terbakar dan terhempas di Praia Grande, Santa Catarina pada pagi Sabtu, mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan 13 yang lain.

Insiden yang berlaku ketika cuaca cerah itu menyaksikan belon yang membawa 21 orang, termasuk juruterbang, tiba-tiba terbakar dari bahagian bakul sebelum ia menjunam ke tanah.

Menurut rakaman video tular, kelihatan asap tebal membumbung dari belon berkenaan sebelum penumpang dilihat terjun keluar dalam usaha menyelamatkan diri. Beberapa individu dipercayai tidak sempat melompat dan terperangkap dalam bakul yang terbakar.

Ketua Polis Awam Santa Catarina, Fernando Andrade, mengesahkan tiga mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan, dipercayai cuba melindungi satu sama lain daripada kebakaran sebelum mereka maut di lokasi.

“Siasatan awal menunjukkan api bermula di dalam bakul. Kami masih meneliti sama ada ia berpunca daripada kerosakan teknikal atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan,” kata jurucakap bomba tempatan.

Sementara itu, mangsa yang terselamat kini dirawat di hospital berdekatan, dengan beberapa daripadanya dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk melecur dan trauma.

Juruterbang dikatakan sempat menurunkan ketinggian belon dan mengarahkan penumpang terjun untuk mengurangkan kemalangan jiwa, tindakan yang dipercayai menyelamatkan lebih ramai daripada maut.

Insiden ini mengundang perhatian ramai terhadap aspek keselamatan aktiviti pelancongan berasaskan belon udara panas yang semakin popular di Brazil dan seluruh dunia.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengendali belon terbabit dan aspek penyelenggaraan peralatannya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button