
Bella Pertahan Muntazar, “Dia Jadi Balaci Awak, Kuli Awak?
PELAKON Bella Dowanna tampil mempertahankan rakan baiknya, Muntazar Ghufran, yang didakwa oleh bekas tunangnya, Saidah Kamarudin, sebagai tidak berkemampuan kewangan untuk berkahwin.
Dalam satu kenyataan lantang di media sosial, Bella meluahkan rasa kecewa apabila rakan baiknya dihina dengan tuduhan hanya memiliki RM500 dalam akaun bank.
“Dalam akaun bank kau ada RM50,000 ke? Kalau tak ada, duduk diam-diam! Kau tahu tak Ghufran tu banyak sangat bantu kau masa korang bersama dulu,” tegas Bella dalam satu hantaran Instagram Story.
Bella turut mendedahkan bahawa sepanjang hubungan mereka, Muntazar bukan sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai pasangan, malah turut menjadi pembantu peribadi, pemandu dan videografer secara sukarela kepada Saidah tanpa sebarang bayaran.
Menurutnya lagi, tindakan Saidah yang terus mengungkit kisah lalu dianggap tidak wajar, apatah lagi melibatkan hal peribadi seperti kewangan.
“Cukup-cukuplah. Orang lain pun ada perasaan. Kalau kau sayang diri kau, tolong jaga maruah orang juga,” katanya.
Sementara itu, abang kepada Muntazar, Firdaus Ghufran, turut memuat naik kenyataan pedas menggelar Saidah sebagai “perempuan murah” dan mendesaknya agar berhenti mengganggu kehidupan adiknya.
Isu mula tercetus selepas Saidah membuat kenyataan mengejutkan tentang bekas tunangnya, mendakwa Muntazar tidak bersedia dari segi kewangan dan mendakwa akaun TikTok miliknya telah digodam selepas mereka putus.
Namun, Muntazar menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah semata-mata.
Pertelingkahan antara ketiga-tiga individu ini kini menjadi perhatian hangat netizen di media sosial, dengan ramai yang mempersoalkan keperluan mendedahkan masalah peribadi kepada umum.
Kreadit: Mstar