
Bella mohon maaf, pakaian tidak ikut kod ketika terima Anugerah Ikon Ibu Muda
Pelakon dan penyanyi, Bella Astilah memohon maaf kerana pakaiannya tidak ikut kod etika ketika menerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu.
Katanya, beliau dan pasukannya tidak dimaklumkan lebih awal mengenai perkara itu hingga menyebabkannya terkhilaf dalam soal pemakaian.
Katanya, jika dimaklumkan dari awal sudah tentu beliau akan patuh apa itu peraturan yang ditetapkan.
Bukan itu saja, pemilik nama Dayang Ara Nabeela Awang Astillah, turut memohon maaf kerana pemakaian yang digayakan tidak mengikut ‘dress code’ yang sudah ditetapkan.
“Saya juga ingin memohon maaf atas sebarang ketidakselesaan yang disebabkan oleh pakaian saya.
“Saya dan pasukan tidak dimaklumkan tentang kod pakaian. Sekiranya saya tahu, pasti akan berpakaian yang sesuai.
“Saya sangat mementingkan penampilan. Saya berasa kecewa juga. Saya minta maaf,” katanya.
Bella menerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.
Beliau yang bersyukur dengan anugerah itu, tetapi pada masa sama merasakan ada lagi ibu-ibu yang lebih layak untuk menerimanya.
Bella, bagaimanapun menyifatkan penghormatan ini sebagai rezeki daripada Allah SWT
Bella yang merupakan ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini menerima anugerah berbentuk sijil, selempang dan sejambak bunga disampaikan oleh isteri kepada Yang di Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin. – SM