Politik

Belanjawan 2021: Tidak benar pembangkang tewas – Kit Siang

AHLI Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menafikan bahawa ahli Parlimen Pembangkang telah tewas dalam Belanjawan 2021.

Sebaliknya, Penasihat DAP itu berkata, kesemua ahli Parlimen Pembangkang telah membantah Belanjawan 2021 melalui undian suara yang lantang.

“Terdapat beberapa salah faham. Pertamanya, yang mengatakan ahli-ahli Parlimen Pembangkang — selain daripada beberapa orang yang berdiri semasa meminta untuk berlakunya belah bahagi — telah tewas dengan desakan dan mengundi untuk menyokong Belanjawan 2021.

“Perkara ini tidak benar, memandangkan Ahli Parlimen Pembangkang, termasuklah mereka yang berdiri memohon supaya belah bahagi dilakukan, kesemuanya telah mengundi membantah Belanjawan 2021 — tetapi undian ini dilakukan melalui suatu undian suara yang lantang mengatakan tidak kepada Belanjawan ini, dan bukannya melalui belah bahagi, di mana setiap Ahli Parlimen mencatatkan undian mereka sebagai bersetuju atau tidak,” kata Kit Siang.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Belanjawan 2021 diperingkat dasar melalui undian suara selepas cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar untuk melakukan undian belah bahagi hanya disokong oleh 13 orang Ahli Parlimen sahaja.

Undian belah bahagi hanya boleh dilakukan sekiranya mendapat sokongan maksimum 15 orang ahli Parlimen.

Dalam kenyataan medianya, Kit Siang berkata, beliau menghargai bantahan yang diterima terhadap keputusan undian Belanjawan semalam.

“Saya hargai bantahan terhadap undian Belanjawan 2021 di Parlimen semalam kerana ini membuktikan bahawa perjuangan untuk sebuah Malaysia Baharu akan tetap diteruskan

“Saya hargai bantahan terhadap undi Belanjawan 2021 di Parlimen semalam kerana ini membuktikan bahawa perjuangan untuk sebuah Malaysia Baharu akan tetap diteruskan. Saya memandang bantahan ini dari sudut yang positif.

“Malah, mantan setiausaha politik saya sendiri, Dyana Sofea membantah keputusan ini, bersama-sama dengan pelbagai pemimpin DAP yang lain, termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka untuk Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk Subang Jaya, Michelle Ng,” kata Kit Siang.

Veteran DAP itu juga mendedahkan beliau tidak mengetahui langsung keputusan saat akhir Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak melakukan undian belah bahagi.

Bagaimanapun Kit Siang berkata, beliau boleh meneka sebab Ketua Pembangkang itu tidak mahu melakukan undian belah bahagi terhadap Belanjawan 2021.

“Pertamanya, nasihat daripada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kepada Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 ini.

“Dan keduanya, ucapan penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, di mana beliau mengumumkan beberapa pemberian tambahan dalam Belanjawan ini yang belum melepasi perbahasan di Peringkat Jawatankuasa sebelum Belanjawan 2021 ini dibacakan dan diundi buat kali ketiga pada 15 Disember,” kata Kit Siang.

Selain itu tindakan Anwar itu juga dipengaruhi dengan keputusan ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Belanjawan 2021.

“Jelas bahawa tidak ada cukup bilangan untuk Belanjawan 2021 ini dikalahkan memandangkan Ahli-ahli Parlimen UMNO telah menarik semula bantahan mereka dan kini bersedia untuk memberikan sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 ini.

“Tetapi perkara ini tidak pernah menjadi faktor kepada Ahli-ahli Parlimen DAP dan PH untuk memutuskan sama ada untuk memanggil belah bahagi atau tidak dalam undian ini,” kata Kit Siang.-SM

 

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button